Isnin, 18 April 2016 | 8:00am

KWAP mahu labur dalam firma teknologi global

KETUA Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Asyraf Hamzah
KETUA Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP merancang mempelbagai lagi portfolio pelaburannya dengan cadangan melabur dalam syarikat teknologi global, kali pertama langkah seumpama itu dilaksanakan dana persaraan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata jika mendapat kelulusan Lembaga Pengarah, pengurus dana pencen itu akan berbuat demikian tahun ini.

Beliau berkata, KWAP memperuntukkan antara AS$20 juta (RM77.96 juta) hingga AS$30 juta (RM116.94 juta) sebagai pelaburan awal dalam syarikat teknologi global.

  Jelasnya, pengurus dana pencen penjawat awam itu juga sudah mengenal pasti syarikat teknologi global yang akan dilaburkannya dan kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan ahli lembaga pengarah KWAP untuk berbuat demikian.

"Pelaburan dalam syarikat teknologi adalah bidang pelaburan baharu bagi kami. Kami tidak boleh terlepas peluang untuk melabur dalam syarikat ini kerana ia amat menarik.

"Bagaimanapun, kami perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Pengarah untuk melabur dalam syarikat ini. Kami akan membentangkan kepada Lembaga Pengarah dalam tempoh terdekat," katanya dalam temu bual bersama akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengenai ciri-ciri syarikat teknologi global yang menjadi perhatian KWAP, Wan Kamaruzaman berkata, syarikat yang mempunyai aliran tunai yang positif serta mempunyai peningkatan dalam penguasaan pasaran menjadi pilihan utama pengurus dana pencen itu.

Beliau berkata, syarikat teknologi global yang menjadi perhatian KWAP itu belum lagi disenaraikan di bursa saham tetapi mempunyai perancangan untuk berbuat demikian dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Katanya, KWAP membangunkan kepakaran dalaman untuk membuat kajian yang mendalam mengenai pelaburan dalam syarikat teknologi global.

"Kami perlu menggunakan pendekatan penilaian pelaburan yang berbeza untuk memilih syarikat teknologi global yang layak kerana syarikat ini belum disenaraikan lagi.

"Kami sudah melatih kakitangan kami dengan menghantar mereka ke London pada tahun lalu bagi menjalani latihan dalam bidang berkaitan," katanya.

Wan Kamaruzaman berkata, syarikat teknologi global yang bakal menjadi pelaburan pertama KWAP adalah syarikat dari Amerika Syarikat dan Eropah.

Setakat Disember 2015, saiz dana yang diuruskan KWAP adalah berjumlah RM120.1 bilion dan setakat Mac lalu, saiz dananya meningkat kepada RM122 bilion.

KWAP ditubuhkan pada 1 Mac 2007 di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007, menggantikan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991. 

Berita Harian X