Khamis, 24 March 2016 | 3:22pm

Harga minyak dijangka AS$60 setong akhir tahun depan

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah dijangka mencecah paras AS$60 setong menjelang akhir tahun depan, kata Ketua Penyelidik Asia Pasifik Wood Mackenzie, Craig McMahon.

Beliau berkata, pengukuhan harga minyak itu disokong oleh peningkatan permintaan terhadap komoditi itu khususnya dari Asia.

Beliau berkata, permintaan minyak mentah dijangka meningkat 1.4 juta tong sehari tahun ini sementara pertambahan 1.2 juta tong sehari lagi pada tahun depan.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Wood Mackenzie dan FMC Technologies Singapore Pte Ltd di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk N Rajendran, berkata dalam tempoh tiga bulan tahun ini, MIDA sudah mempunyai potensi projek minyak dan gas dengan jangkaan pelaburan RM13.6 bilion.

Beliau berkata projek itu termasuk projek dari Jepun dan China.

Pada 2015, beliau berkata, MIDA meluluskan sejumlah 69 projek berkaitan minyak dan gas bernilai RM27.9 bilion dengan mewujudkan 4,890 peluang pekerjaan.

Katanya, daripada jumlah itu lebih 90 peratus disumbangkan sektor petrokimia.

Berita Harian X