Khamis, 17 March 2016 | 7:55pm

Samsung yakin jualan telefon pintarnya meningkat

PELAKON Korea Selatan, Lee Kwang Soo menunjukkan telefon pintar Galaxy S7 edge baharu.
PELAKON Korea Selatan, Lee Kwang Soo menunjukkan telefon pintar Galaxy S7 edge baharu.

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics (SME) yakin mencatat pertumbuhan jualan telefon pintarnya tahun ini, dipacu oleh inovasi yang berterusan dibawa masuk ke negara ini.

Naib Presiden Mudah Alih, Teknologi Maklumat (IT) dan Pengimejan Digitalnya, Lee Jui Siang, berkata pertumbuhan itu juga didorong oleh pelancaran model telefon pintar Samsung Galaxy S7 edge baharu, yang dijangka mencatat prestasi jualan yang baik.

"Selain itu, jam pintar dan pelbagai peranti lain juga dijangka terus mencatatkan pertumbuhan jualan di Malaysia tahun ini," katanya pada sidang media selepas pelancaran Samsung Galaxy S7 edge di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden SME, Lee Sang Hoon dan pelakon Korea Selatan, Lee Kwang Soo.

Samsung Galaxy S7 edge yang dijual pada harga RM3,099 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), boleh didapati dalam tiga warna iaitu hitam onyx, perak titanium dan emas platinum, bermula hari ini.

Mengulas lanjut, Jui Siang berkata, Samsung Malaysia Electronics kini adalah peneraju pasaran telefon pintar di negara ini, selain juga adalah peneraju pasaran telefon pintar global.

"Samsung adalah peneraju kukuh dan berada pada kedudukan baik di Malaysia," katanya.

Jui Siang berkata, jualan tahun lalu dipacu oleh pelbagai model telefon pintar dan bukannya hanya Samsung Galaxy Note 5.

"Pelancaran telefon pintar seperti Siri A dan J mencatatkan prestasi baik dalam portfolio telefon," katanya sambil menjelaskan pelaksanaan GST tidak memberi sebarang impak kepada jualan syarikat itu.

Jui Siang berkata, Samsung akan terus melakukan inovasi tanpa mengira sebarang situasi ekonomi yang berlaku.

"Realitinya adalah pelanggan masih mencari peranti dan inovasi baharu. Selagi kita terus melakukan inovasi dan memberi pengalaman yang teruja kepada pasaran, ia akan memacu jualan dan pertumbuhan yang baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, aplikasi Samsung Pay dalam telefon pintarnya yang membolehkan pengguna melakukan pembayaran, akan diperkenalkan pada suku keempat tahun ini.

Berita Harian X