Rabu, 16 March 2016 | 12:47pm

Matrade catat jualan RM4.5 juta di Singapura

SINGAPURA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mencatat jualan bernilai RM4.5 juta pada misi pemasaran khas ke Singapura pada Selasa.

"Nilai jualan itu dicapai susulan pertemuan bersemuka yang diatur untuk 30 syarikat Malaysia yang menyertai misi berkenaan," kata Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik Matrade, Wan Latiff Wan Musa.

Beliau berkata, 132 pertemuan diatur untuk syarikat berkenaan bersama rakan niaga di Singapura.

Misi pemasaran itu diadakan sempena lawatan kerja dua hari Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed ke republik itu mulai 15 Mac.

Program yang diatur termasuk taklimat mengenai Tinjauan Pasaran Singapura' oleh Kaunselor (Ekonomi) kementerian di sini, Syed Faizal Dardin.

Taklimat lain termasuk 'Menjalankan Perniagaan di Singapura - Boleh dan Tidak' oleh Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Melayu Singapura, Malek Mattar dan Ketua & Perunding Utama Khidmat Nasihat Halal, PERGAS Investment Holdings Pte Ltd, Zuraimi Jumaat.

Anggota delegasi yang diketuai Wan Latiff juga berpeluang menghadiri makan malam rantaian dengan Mustapa dan diaspora Malaysia di Singapura menerusi Persatuan Malaysia di Singapura dan Petugas Tempatan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Sempena misi itu, Matrade menyaksikan pertukaran dokumen antara YJACK Technology Sdn Bhd dan Bakat Geotechnics Pte Ltd bagi mewujudkan kesedaran terhadap teknologi baharu Bakat Geotechnics, di Singapura. - BERNAMA

Berita Harian X