Jumaat, 26 Februari 2016 | 4:05pm

Nilai dagang Malaysia-Afrika diunjur tumbuh 10 peratus

DATUK Seri Mustapa Mohamed. - Foto Abdullah Yusof
DATUK Seri Mustapa Mohamed. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Malaysia mengunjurkan pertumbuhan tahunan sebanyak 10 peratus bagi perdagangan antara Malaysia dengan Afrika yang dipacu atas asas kukuh dalam hubungan diplomatik dan dagangan antara kedua negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata jumlah dagangan antara Malaysia dan Afrika secara keseluruhannya berkembang daripada RM12.2 bilion pada tahun 2006 kepada RM30.1 bilion tahun lalu, iaitu pada purata pertumbuhan tahunan 10.6 peratus.

Katanya, jumlah dagangan dua negara itu turut meningkat 2.5 peratus tahun lalu berbanding RM29.35 bilion yang direkodkan tahun sebelumnya berikutan jumlah eksport yang tinggi.

"Hubungan baik antara Malaysia dan Afrika yang sedia terjalin membantu menyediakan potensi perniagaan yang lebih banyak.

"Sasaran 10 peratus pertumbuhan tahunan adalah sangat baik untuk dicapai dengan keadaan persekitaran kini yang serba mencabar," katanya pada pemberita selepas menghadiri dan berucap pada Program Meningkatkan Kerjasama Malaysia-Afrika di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Noraini Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud serta Naib Presiden dan Pengasas Bersama Persatuan Usahawan Profesional Malaysia-Afrika (MAPE), Ismail Nabe.

Berita Harian X