Rabu, 24 Februari 2016 | 11:22am

Dagangan minyak bermula rendah hari ini

SINGAPURA: Harga minyak rendah pada awal dagangan hari ini, melanjutkan kejatuhan mendadak dari sesi sebelumnya selepas pengeksport utama Arab Saudi menolak pemotongan pengeluaran.

Data industri juga menunjukkan stok simpanan minyak mentah AS terus meningkat.

Sementara itu, Iran pula membuat pendirian jelas tidak mempunyai kepentingan dalam sekatan pengeluarannya selepas sekatan antarabangsa terhadapnya ditarik balik pada Januari lalu dan cadangan kerjasama pengeksport utama, Russia serta Arab Saudi untuk membekukan pengeluaran dianggap sesuatu yang melucukan.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) diniagakan pada AS$31.49 setong pada 0104 GMT, jatuh 38 sen dari sebelumnya.

Niaga hadapan Brent jatuh 15 sen pada AS$33.12 setong. Kedua-dua kontrak jatuh lebih lima peratus pada hari sebelumnya.

Kejatuhan itu adalah hasil daripada kekurangan kerjasama dalam kalangan anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk membekukan atau mengurangkan lebihan bekalan, yang menarik harga bawah 70 peratus sejak pertengahan 2014.

Menteri Minyak Arab Saudi, Ali Al-Naimi, berkata pada Selasa, pelarasan pemotongan pengeluaran oleh OPEC dan pengeksport bukan OPEC tidak akan berlaku kerana tidak semua negara mampu menyertainya.

Beliau berkata, pembekuan yang dicadangkan dalam pengeluaran pada Januari, yang mana parasnya menghampiri rekod tertinggi, juga memerlukan semua pengeluar utama bersetuju untuk tidak menambah simpanan mereka. - REUTERS

Berita Harian X