Selasa, 23 Februari 2016 | 6:57pm

Fitch sahkan penarafan Malaysia pada 'A-' dengan unjuran stabil

KUALA LUMPUR: Fitch Ratings hari ini mengesahkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia masing-masing kepada 'A-' dan 'A' dengan unjuran stabil.

Agensi penarafan itu turut mengesahkan penarafan terbitan bon mata wang tempatan tidak bercagar senior Malaysia pada 'A' dan had siling negara pada 'A' manakala IDR mata wang asing jangka pendek pada 'F2.'

Penarafan itu, kata Fitch, antara lainnya didorong oleh komitmen kerajaan terhadap usaha pengukuhan fiskal, kestabilan ringgit serta pertumbuhan rizab dan ekonomi yang lebih kukuh.

Dalam satu kenyataan, Fitch Ratings melihat andaian ekonomi makro termasuk jangkaan pergerakan purata harga minyak sekitar AS$30-35 setong pada 2016 dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 4.5 peratus, secara meluasnya adalah realistik.

Firma penarafan itu juga mengunjurkan hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK meningkat secara sederhana hingga 2017 tetapi kekal di bawah paras siling yang ditetapkan kerajaan 55 peratus.

Ia menegaskan, liabiliti luar jangka dalam bentuk jaminan jelas oleh Kerajaan Persekutuan sudah stabil sekitar 15 peratus daripada KDNK sejak 2013.

"Ekonomi adalah perlahan, tetapi pertumbuhan kekal kukuh berbanding rakan 'A' yang lain. Kami jangka pertumbuhan KDNK sebenar kira-kira 4.0 peratus pada 2016 dan 2017, di bawah purata lima tahun 5.0 peratus.

"Pertumbuhan kredit 7.9 peratus pada 2015 adalah paling rendah sejak 2009, sebahagian besarnya berikutan pengetatan syarat kewangan yang dihadapi bank, yang mana bank pusat bertindak balas dengan pengurangan keperluan rizab pada Januari 2016," katanya.

Fitch Ratings berkata, kejatuhan ringgit menyokong eksport bukan komoditi dan syarikat berkaitan kerajaan dijangka meneruskan dengan projek pelaburan strategik.

Ia berkata, ringgit jatuh sebanyak 18.6 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2015 sementara rizab asing jatuh sebanyak 18 peratus.

Namun, katanya, mata wang tempatan dan rizab kembali stabil sejak September 2015 meskipun harga minyak terus jatuh.

"Kecairan luaran Malaysia merosot tetapi kekal sejajar dengan julat penengah yang dicatatkan rakan 'A' yang lain bagi pembayaran luaran semasa dan nisbah kecairan.

"Kami jangka akaun semasa akan kekal dalam lebihan yang sederhana sehingga 2017," katanya.

Fitch Ratings berkata, sektor swasta Malaysia sangat tinggi hutangnya, dengan kredit bank kepada sektor swasta adalah yang ketiga tertinggi dalam kalangan penarafan Fitch bagi pasaran baharu muncul pada akhir 2015, pada paras 121 peratus daripada KDNK.

Ia berkata, agregat hutang seluruh ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 43 mata peratusan daripada KDNK antara akhir 2007 dan Jun 2015 mengikut perangkaan Bank of International Settlements, lebih tinggi berbanding Thailand, Brazil atau Turki meskipun rendah sedikit berbanding China (+91 mata peratusan).

Firma penarafan itu berkata, hutang isi rumah Malaysia berkembang pantas, hampir 18 mata peratusan berbanding 17 mata peratusan untuk sektor kerajaan.

"Hutang sektor swasta yang tinggi mengurangkan daya tahan sistem kewangan Malaysia dan profil kredit berdaulat kepada turun naik ekonomi makro, seperti peningkatan mendadak dalam pengangguran atau kadar faedah, jika ia berlaku," katanya.

Fitch Ratings berkata, paras pendapatan Malaysia (pada kadar pertukaran pasaran) dan pembangunan adalah lemah jika dibandingkan dengan julat penengah 'A' dan menghampiri julat biasa 'BBB'.

Firma penarafan itu berkata, tadbir urus juga lemah berbanding dengan negara lain dalam penarafan 'A'.

"Politik Malaysia dan standard tadbir urus telah menjadi perhatian kerana pelbagai siasatan domestik dan antarabangsa terhadap syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Bagaimanapun, ketegangan politik yang dijana isu berkenaan setakat ini tidak memberi kesan dalam membuat dasar.

"Sebagai contoh, kerajaan meneruskan pembaharuan fiskal struktur yang kontroversi, termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pengurangan subsidi bahan api," katanya.

Fitch Ratings berkata, fleksibiliti pembiayaan berdaulat mendapat manfaat daripada pasaran modal tempatan yang kukuh.

Malah, ia berkata, Malaysia tidak pernah mempunyai sejarah dalam menstruktur semula hutang kerajaan.

Tinjauan stabil mencerminkan penilaiannya bahawa risiko peningkatan dan penurunan terhadap penarafan kini adalah seimbang secara meluas.

Firma penarafan itu berkata, antara faktor utama yang mendorong kepada penarafan positif ialah pengurangan berterusan dalam nisbah hutang kerajaan dan menyempitkan kelemahan struktur berbanding rakan penarafan yang sama lain, termasuk petunjuk pembangunan dan tadbir urus.

"Antara faktor utama yang yang boleh mendorong kepada penarafan negatif ialah kemerosotan berterusan dalam disiplin fiskal dan kewangan awam yang meningkatkan nisbah hutang kerajaan secara mendadak lebih daripada jangkaan firma penarafan itu.

"Kemerosotan berterusan dalam imbangan pembayaran yang mengekang kestabilan ekonomi dan kewangan domestik, kemerosotan dalam kestabilan politik atau tadbir urus yang membawa kepada kelemahan kredibiliti pembuat dasar adalah faktor utama yang mendorong kepada penarafan negatif," katanya.

Fitch Ratings menegaskan penarafan dibuat bersandarkan kepada andaian bahawa ekonomi global berkembang sejajar dengan unjuran dalam Tinjauan Ekonomi Global Terkini Fitch, yang mana bahawa tidak ada kelembapan mendadak yang menimbulkan gangguan di China serta tidak ada krisis sistemik global dalam pasaran baharu muncul.

Berita Harian X