Isnin, 22 Februari 2016 | 12:36pm

KWSP pelbagaikan portfolio pelaburan jana pulangan tinggi

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meneruskan strategi mempelbagaikan portfolio pelaburannya bagi menjamin pulangan yang mapan pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata kepelbagaian porfolio pelaburan membantu pengurus dana persaraan itu dalam mengekang kesan ketidaktentuan pasaran global dan domestik.

Beliau berkata, strategi kepelbagaian itu juga menyediakan peluang kepada KWSP untuk menjana keuntungan dan mengenal pasti pelaburan berpotensi yang menarik.

Katanya, dengan mempelbagaikan pelaburan di pasaran global dan mata wang, ia membolehkan KWSP untuk memperoleh pulangan yang tinggi.

"Pada tahun lalu, pelaburan asing menyumbang 48 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai Dividen KWSP 2015, di sini, hari ini.

KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.40 peratus untuk 2015 dan pembayaran dividen sebanyak RM38.24 bilion.

Shahril Ridza berkata, KWSP bercadang untuk meningkatkan pelaburan asing kepada 27 peratus dalam tempoh dua tahun ini.

Beliau berkata, pada 2015, pelaburan asing mewakili 25 peratus daripada keseluruhan pelaburan tahun lalu.

Berita Harian X