Isnin, 25 Januari 2016 | 7:00am

Banyak industri peroleh manfaat daripada TPPA

KUALA LUMPUR: Industri minyak sawit, getah, perkayuan serta minyak dan gas Malaysia akan memperoleh manfaat daripada Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) memandangkan ia menawarkan akses pasaran lebih meluas.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low Jau Foo, berkata TPPA akan menjamin pasaran tersedia, termasuk ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS).

"Malaysia adalah negara perdagangan kecil, namun mempunyai industri yang sangat baik dengan keupayaan mengeluarkan barangan kepada dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia perlu sentiasa menjalinkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan perjanjian perkongsian yang boleh memenuhi keperluan perdagangan barangan keluaran negara ini.

Mengambil contoh industri perabot, Jau Foo berkata saiz pasaran domestik tidak mampu mengekalkan industri itu, justeru ia perlu meninjau pasaran luar.

Katanya, Malaysia adalah pengeluar kedua terbesar minyak sawit, dan sekiranya negara tidak mendapatkan rakan perdagangan baharu dan FTA, ia tidak dapat mengembangkan pasaran eksport serta merancakkan produk hiliran berkaitan dengannya.

"Bagi produk getah pula, Malaysia adalah pengeluar utama sarung tangan pemeriksaan perubatan dan pembedahan dunia dengan keupayaan mengeluar 120 bilion unit pada 2015, dan ini akan bertambah kepada 135 bilion pada 2016.

"Malaysia sentiasa menguasai kira-kira 63 peratus daripada pengeluaran segmen sarung tangan itu kepada pasaran dunia memandangkan kita mempunyai FTA dengan banyak negara, dan dengan TPPA, prestasi itu akan menjadi lebih baik," katanya.

Malaysia juga adalah pengeluar kondom terbesar dunia.

MARGMA berpendirian dengan mengambil bahagian dalam TPPA, Malaysia dapat mengukuhkan lagi kedudukannya dalam komoditi dan aktiviti hiliran berkaitan, sekali gus memastikan pertumbuhan berterusan.

"MARGMA menyokong TPPA dan percaya ahli kami turut menyokong bagi kepentingan negara dan industri," katanya.

MARGMA ditubuhkan pada 1989 sebagai persatuan industri bukan bermotifkan keuntungan, menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada ahli merangkumi pengeluar sarung tangan tempatan, persatuan pembekal dan organisasi sokongan lain.

Berita Harian X