Jumaat, 22 Januari 2016 | 11:20am

Ekonomi Malaysia kekal stabil pada 2016 - OCBC

KUALA LUMPUR: Ada peluang baik bagi ekonomi Malaysia untuk menstabil pada separuh kedua 2016, sungguhpun berhadapan risiko sama yang dilalui pada 2015, kata Ketua Ahli Ekonomi OCBC Bank, Selena Ling, yang berpangkalan di Singapura.

Beliau berkata, ini disandarkan kepada kebarangkalian harga bagi minyak mentah Brent, selaku penanda aras minyak mentah dunia, akan mencatat lantunan.

Daripada aspek pertumbuhan, Malaysia katanya, dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.7 peratus pada 2016 mengambil kira kebarangkalian lantunan harga minyak sebanyak AS$45 satu tong pada suku ketiga 2016 dan AS$50 satu tong pada suku keempat tahun sama.

"Ini secara umumnya selari hala pertumbuhan ekonomi 4.8 peratus yang dicatat Malaysia pada 2015," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberi taklimat Tinjauan Ekonomi Malaysia OCBC 2016 di sini, hari ini.

Selena berkata, daya tahan eksport negara juga dilihat antara penyumbang kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini, selain faktor lain seperti pembetulan dalam import.

Sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang sebanyak 25 peratus kepada eksport negara dijangka dapat mengimbangi kelembapan eksport komoditi, katanya.

Beliau berkata, tiga faktor utama dijangka mempengaruhi hala tuju pertumbuhan ekonomi dunia pada 2016, iaitu kekuatan pertumbuhan ekonomi China, harga komoditi dan minyak mentah.

Selena berkata, penggantungan Malaysia kepada pendapatan berkaitan minyak dan gas untuk membiayai perbelanjaan fiskal, dijangka terus menerima tekanan tahun ini.

Ini katanya, menjurus kepada persediaan awal kerajaan dalam rancangannya membuat pengurangan perbelanjaan lanjut berikutan harga minyak dijangka tidak akan pulih dalam tempoh terdekat.

Selain minyak dan harga komoditi, dua faktor yang dijangka akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi Malaysia ialah ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China dan kenaikan lanjut dalam kadar faedah di Amerika Syarikat, katanya.

"Sementara kedua-dua faktor itu kelihatan kurang cengkamannya tahun ini, ia bagaimanapun tetap dipantau pelabur yang meninjau melabur di negara ini," katanya.

Berhubung ringgit, beliau berkata ia dijangka mencatat kejatuhan lanjut kepada 4.5 berbanding dolar AS lewat tahun ini berikutan dolar dijangka semakin mengukuh berbanding beberapa mata wang utama dengan jangkaan kenaikan lanjut kadar faedah oleh Rizab Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, meskipun terdapat kebimbangan berhubung keputusan Petronas untuk mengurangkan perbelanjaan modal (capex) dan perbelanjaan operasi (opex) sebanyak RM50 bilion untuk tempoh empat tahun akan datang, beliau percaya ia tidak memberi kesan besar kepada kadar pengangguran negara.

"Kadar pengangguran di Malaysia masih agak rendah. Apa yang kita lihat di seluruh Asia, sektor minyak dan gas dan perkilangan mengambil peranan (pekerjaan) lebih kecil manakala sektor penggunaan dan perkhidmatan domestik akan mengambil peranan sokongan.

"Setakat ini, kita tidak melihat kadar pengangguran yang ketara seperti pada krisis kewangan Asia dan krisis kewangan global," katanya.

Berita Harian X