Rabu, 20 Januari 2016 | 7:09pm

Saham KL ditutup rendah susulan penurunan harga minyak

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini susulan penurunan harga minyak dan kebimbangan terhadap pertumbuhan lembap di China, kata peniaga.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.39 mata untuk ditutup pada 1,618.83 berbanding 1,629.22 ketika penutup pada Selasa.

Petunjuk pasaran itu dibuka rendah pada 1,628.16 mata dan bergerak antara 1,618.32 dan 1,628.65 sepanjang hari ini dalam keadaan dagangan berhati-hati.

Pasaran berada dalam lingkungan negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 830 berbanding 168, manakala 259 kaunter tidak berubah, 494 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.35 bilion saham bernilai RM2.10 bilion, daripada 2.20 bilion saham bernilai RM1.77 bilion pada Selasa.

Harga minyak mentah susut hingga paras terendah baharu dalam tempoh 12 tahun pada AS$28 setong hari ini, manakala pertumbuhan ekonomi China pada 2015, iaitu paling lembap dalam tempoh 25 tahun, memburukkan sentimen pelabur.

"Meskipun ketidaktentuan luaran bagi jangka pendek berlaku, pasaran tempatan kekal optimistik secara berhati-hati, didorong oleh suntikan dana Valuecap, kemajuan penstrukturan semula 1Malaysia Development Bhd dan daya tahan asas-asas ekonomi Malaysia," mengikut Hong Leong Investment Bank.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata pasaran tempatan sudah lama tidak menunjukkan aliran menarik, terutama saham bermodal kecil dan sederhana yang bertahan dengan kelembapan ekonomi.

Pada peringkat rantau, Nikkei Jepun susut 3.71 peratus kepada 16,416.19, Hang Seng Hong Kong turun 3.13 peratus kepada 19,020.55 dan Straits Times Singapura kurang 2.86 peratus kepada 2,562.96.

Bagi pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Maybank merosot lima sen kepada RM8.28, TNB turun dua sen kepada RM12.88, Public Bank kurang empat sen kepada RM18.14 dan Petronas Chemicals susut dua sen kepada RM6.99.

Kaunter paling rugi ialah Lay Hong yang merosot 39 sen kepada RM8.10, diikuti UMW Holdings turun 35 sen kepada RM6.70, Kossan Rubber berkurangan 31 sen kepada RM8.69 dan Shell Refining rugi 29 sen kepada RM5.15.

Pada papan skor, Indeks FBM Emas susut 98.64 mata kepada 11,318.96, Indeks FBMT100 turun 86.28 mata kepada 11,008.98 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 108.59 mata kepada 12,261.41.

FBM 70 turun 155.91 mata kepada 12,742.51 dan FBM Ace berkurangan 189.98 mata kepada 5,995.06.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan turun 13.30 mata kepada 3,123.20, Indeks Kewangan susut 72.27 mata kepada 13,683.57 dan Indeks Perladangan berkurangan 66.52 mata kepada 7,452.77.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.37 bilion unit bernilai RM1.89 bilion, daripada 1.32 bilion unit bernilai RM1.60 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menurun kepada 598.67 juta saham bernilai RM127.17 juta berbanding 599.70 juta saham bernilai RM117.70 juta semalam.

Waran meningkat kepada 370.04 juta unit bernilai RM75.60 juta daripada 271.88 juta unit bernilai RM46 juta semalam.

Barangan pengguna menyumbang 222.32 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (309.63 juta), pembinaan (68.27 juta), perdagangan dan perkhidmatan (461.47 juta), teknologi (39.99 juta), infrastruktur (14.26 juta), SPAC (32.17 juta), kewangan (44.28 juta), hotel (1.14 juta), hartanah (150.25 juta), perladangan (14.57 juta), perlombongan (5,000), REIT (10.18 juta) dan dana tertutup (40,000). - BERNAMA

Berita Harian X