Selasa, 12 Januari 2016 | 6:30pm

Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit hari ini ditutup lebih rendah berbanding dolar AS, menyusuli mata wang Asia pesat berkembang lain disebabkan kejatuhan harga minyak, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, ringgit jatuh kepada 4.4050/4100 berbanding dolar AS daripada 4.3700/3800 pada Isnin.

Seorang penganalisis berkata, usaha China untuk merancakkan kegiatan pasaran gagal merangsang keyakinan pelabur menyebabkan mata wang serantau lain, terutama mata wang negara pesat membangun ditutup rendah.

"People's Bank of China menetapkan satu lagi kadar rasmi renmimbi yang kukuh hari ini yang sepatutnya membantu merangsang sentimen pasaran positif, namun disebabkan pasaran ekuiti China pernah digantung dua kali dan faktor-faktor lain seperti pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan, keyakinan pelabur terjejas," kata peniaga itu.

Ketua penganalisis pasaran FXTM, Jameel Ahmad berkata semakan semula unjuran penarafan negara Malaysia daripada positif kepada stabil oleh Moody's Investor Service turut menyebabkan unit tempatan didagangkan rendah.

Sementara itu, harga minyak merosot tiga peratus kepada AS$30.43 setong, ditekan oleh isu lebihan bekalan, kelembapan ekonomi China dan ketidaktentuan pasaran saham.

Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Singapura 3.0605/0644 daripada 3.0423/0508 pada Isnin dan jatuh berbanding pound British kepada 6.4027/4117 daripada 6.3662/3817 semalam.

Ia menyusut berbanding yen kepada 3.7499/7545 daripada 3.7072/7166 pada Isnin dan jatuh berbanding euro kepada 4.7940/7003 daripada 4.7559/7681 sebelum ini.

- BERNAMA

Berita Harian X