Selasa, 12 Januari 2016 | 11:22am

Dalian Wanda beli Legendary Entertainment AS$3.5b

WANG Jianlin. - Foto REUTERS
WANG Jianlin. - Foto REUTERS

BEIJING: Orang terkaya Asia, Wang Jianlin, bakal menjadi individu China pertama menguasai syarikat filem Hollywood selepas syarikatnya bersetuju membeli pengeluar filem "Jurassic World" pada pertimbangan tunai AS$3.5 bilion (RM15.35 bilion).

Dalian Wanda Group Co akan membeli Legendary Entertainment berpangkalan di California bagi hak harta intelek dan membantu China memiliki kata putus yang lebih besar dalam industri filem global, kata jutawan itu dalam satu taklimat media di Beijing, hari ini.

Pengeluar filem "Dark Knight" Batman trilogi dan "Godzilla" itu memberi laluan kepada China untuk meluaskan pengaruhnya ke atas filem utama AS melampaui kameo pelakon-pelakon China.

Bagi Wang, janji niaga itu adalah contoh terbaharu dalam cita-citanya mengembangkan empayar hiburan dengan memiliki rangkaian panggung wayar kedua terbesar di AS selain sedang membangunkan taman tema termasuk studio terbesar dunia.

Sokongan Wang memberikan Legendary, diterajui pengasas Thomas Tull, akses kepada dana diperlukan untuk membiayai pembikinan filem seperti sambungan kepada francais "Pacific Rim" dan "Godzilla".

Pada 2014, Legendary menjana AS$250 juta (RM1.096 bilion) dalam ekuiti daripada SoftBank Group Corp dari Jepun dan tahun lalu sumber berkata syarikat itu sedang berunding untuk meminjam hingga AS$700 juta (RM3.069 bilion).

Filem dikaitkan dengan Legendary mencatat kutipan jualan kasar lebih AS$10 bilion (RM43.84 bilion) di panggung seluruh dunia, demikian menurut syarikat itu.

Tull berhasrat mengembangkan operasi di Asia dengan Legendary East dan pada 2013 memeterai perjanjian dengan China Film Co untuk bersama-sama mengeluarkan filem berskala besar bagi tontonan global, seperti "The Great Wall," yang akan dibintangi Matt Damon.

Wanda mula membina panggung wayang kira-kira sedekad lalu dalam satu percubaan singkat ke dalam industri budaya yang dikata Wang sebagai tiada hak ke atas pengaruh dan keuntungan yang bakal diraih.

Tahun lalu, syarikat dari China membiayai pengeluaran filem pertama AS oleh Weinstein Co bertajuk "Southpaw."

Di China, perniagaan hiburan milik Wang merangkumi daripada panggung wayang hingga ke penghasilan filem dan taman tema berikutan penganalisis meramalkan negara itu akan mengatasi AS sebagai pasaran pecah panggung terbesar dunia dalam tahun-tahun mendatang.

Segmen perniagaan itu menyaksikan jualannya meningkat 46 peratus kepada 51.3 bilion yuan (RM34.35 bilion) pada 2015, mengatasi pertumbuhan pendapatan kumpulan secara keseluruhan sebanyak 19 peratus.

Hollywood memang sudah lama menjadi tarikan pelabur dari China tetapi mereka belum lagi menguasai sebarang syarikat pengeluar filem utama.

Alibaba Group Holding Ltd melabur dalam "Mission Impossible: Rogue Nation," manakala syarikat pengeluar filem STX Entertainment dan Studio 8 menarik dana daripada Hony Capital dan Fosun Group. - Bloomberg

Berita Harian X