Sabtu, 9 Januari 2016 | 10:22am

Semak semula perbelanjaan infrastruktur Bajet 2016

PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak memasukkan buku laporan Bajet 2016 ke dalam beg di bilik operasi bajet ketika meninjau persiapan akhir Bajet 2016 di Putrajaya, Oktober tahun lalu. Bersamanya ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani (kanan) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak memasukkan buku laporan Bajet 2016 ke dalam beg di bilik operasi bajet ketika meninjau persiapan akhir Bajet 2016 di Putrajaya, Oktober tahun lalu. Bersamanya ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani (kanan) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyemak semula perbelanjaan infrastruktur jangka panjang dalam Bajet 2016 sebagai antara tindakan untuk mengurangkan kesan kejatuhan harga minyak dan persekitaran ekonomi yang mencabar di China.

Dekan Fakulti Perniagaan Universiti Malaysia Sains dan Teknologi Malaysia, Dr Yeah Kim Leng mencadangkan agar projek yang lebih besar boleh ditangguhkan hingga keadaan ekonomi pulih.

"Saya rasa atas dasar berkenaan, kita perlu melihat setiap projek dalam ekonomi kerana kita tidak mahu kerajaan mengurangkan perbelanjaan sehingga akan memburukkan lagi kelembapan semasa.

"Apa yang kerajaan perlukan sekarang ialah untuk menyemak semula projek-projek yang boleh ditangguhkan tanpa memberi kesan yang besar terutama yang tidak mempunyai begitu banyak kesan berganda," katanya.

Yeah adalah antara penceramah pada forum itu, bersama-sama ketua pakar ekonomi Bank Pembangunan Asia Jayant Menon dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Phang Ah Tong.

Beliau berkata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang diperkenalkan pada 1 April 2015, telah mengurangkan sebahagian daripada kesan penurunan ketara dalam pendapatan daripada sektor minyak dan gas.

"Adalah bijak bagi kerajaan untuk menyemak semula Bajet 2016 dan melihat bagaimana mereka boleh mengambil langkah-langkah proaktif atau pencegahan sekiranya hasil minyak terus merudum," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 untuk menampung pendapatan negara yang berkurangan hasil daripada harga minyak yang lebih rendah dan ketidaktentuan ekonomi global.

Bajet 2016 berdasarkan pada harga minyak purata AS$48 setong.

Penanda aras harga minyak mentah Brent stabil pada Jumaat kepada AS$34.33 setong selepas merudum ke paras terendah dalam 12 tahun, seiring dengan pemulihan pasaran saham China.

Ekonomi kedua terbesar dunia itu telah menarik balik mekanisme sistem penampan kejatuhan yang menghentikan dagangan pasaran saham dua kali minggu ini dan juga meningkatkan kadar petunjuk bagi yuan pada 6.5636 setiap dolar AS pada Jumaat.

Yeah berkata, kerajaan mungkin perlu meningkatkan unjuran defisit belanjawan tinggi sedikit daripada dijangka sebanyak 3.1 peratus pada 2016 tanpa mengakibatkan tindak balas buruk pasaran.

"Selagi kita tidak lari jauh daripada defisit bajet tahun sebelumnya sebanyak 3.2 peratus, saya berpendapat ia suatu yang baik.

"Malah, ia boleh naik kepada 3.5 peratus selagi kita boleh menyampaikan kepada pasaran bahawa ia adalah sementara kerana keadaan luar biasa seperti kejatuhan pasaran saham di China baru-baru ini," katanya.

Yeah berkata, kerajaan juga perlu memastikan keadaan kredit kekal menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia semasa paras terendah kitaran kadar faedah di Amerika Syarikat.

"Malaysia tidak kekurangan mudah tunai. Perkara yang sangat penting adalah meningkatkan keyakinan," katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia berkemungkinan pada 4.9 peratus pada 2015 dan 4.7 peratus pada 2016, dipacu oleh penggunaan dan pelaburan swasta.

Harga minyak yang lebih rendah akan berterusan pada 2016 kerana masih belum sampai pada paras terendahnya.

"Pertumbuhan yang dijangka pada 2015 adalah membanggakan walaupun semua halangan. Masih mempunyai momentum pertumbuhan yang mencukupi untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

"Ia telah menjana banyak sentimen pesimis, yang tidak dibantu dengan hakikat bahawa ekonomi global dan keadaan kewangan yang mencabar," katanya.

Terdahulu, beliau berkata indeks harga pengguna (IHP) pada purata 2.1 peratus pada 2015 tetapi dijangka meningkat pada 2016, memuncak pada suku pertama pada 3.0 peratus sebelum semakin turun kesan asas GST berkurangan. - BERNAMA

Berita Harian X