Jumaat, 8 Januari 2016 | 10:00am
HARGA minyak mentah dunia dijangka terus kekal rendah dalam tempoh terdekat berikutan lebihan bekalan global serta ketidaktentuan pasaran China. - Foto hiasan
HARGA minyak mentah dunia dijangka terus kekal rendah dalam tempoh terdekat berikutan lebihan bekalan global serta ketidaktentuan pasaran China. - Foto hiasan

Kerajaan wajar menyemak semula Bajet 2016, pakar ekonomi

KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi tempatan berpendapat kerajaan wajar menyemak semula Bajet 2016, susulan kejatuhan berterusan harga minyak mentah dunia.

Ini berikutan, ketika merangka Bajet 2016, kerajaan mengunjurkan purata harga minyak mentah Brent pada paras AS$48 (RM211.20) setong tahun ini, namun harganya kini jatuh ke paras hampir AS$32 (RM140.80), jauh di bawah paras diunjurkan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata harga minyak mentah dunia dijangka terus kekal rendah dalam tempoh terdekat berikutan lebihan bekalan global serta ketidaktentuan pasaran China.

Pada dagangan semalam, harga minyak mentah dunia jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih sedekad, berikutan kebimbangan terhadap kejatuhan pasaran saham China di tengah-tengah persekitaran lebihan bekalan global.

Katanya, harga minyak mentah menerima tekanan daripada lebihan bekalan dan permintaan yang rendah.

"Faktor permintaan minyak adalah sesuatu amat kritikal bagi menyokong harga kerana sekiranya terdapat peningkatan dalam permintaan, ia akan mengurangkan stok simpanan minyak sedia ada. Namun, kini terdapat lebihan penawaran dalam pasaran," katanya kepada BH.

Ditanya kesannya terhadap ekonomi Malaysia, Afzanizam berkata, apabila harga minyak mentah terus jatuh, kerajaan perlu melakukan semakan semula Bajet 2016.

Beliau berkata, dengan semakan semula bajet itu, sekurang-kurangnya ia boleh mengurus jangkaan peserta pasaran dan rakyat mengenai bagaimana sumber kerajaan yang terhad akan digunakan dan sasaran defisit yang mahu dicapai di tengah-tengah persekitaran mencabar.

"Apa yang penting, semakan perlu realistik dan sesuai dengan keadaan semasa, terutama dengan pergerakan harga minyak yang semakin tidak menentu.

"Berkemungkinan pelarasan perbelanjaan perlu dilakukan bagi memastikan defisit kerajaan sentiasa berada dalam keadaan yang terkawal," katanya.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, dilaporkan berkata kerajaan akan menyemak semula Bajet 2016 jika harga minyak mentah dunia kekal rendah.

Sementara itu, Pengarah Jupiter Securities Sdn Bhd, Nazarry Rosli juga melihat jika harga minyak terus jatuh di bawah AS$40 setong adalah langkah wajar untuk kerajaan menyemak semula Bajet 2016.

Beliau percaya, sebarang semakan semula yang dibuat dalam bajet itu akan menjamin kesejahteraan rakyat dan kekal menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

"Projek yang tidak berkepentingan awam mungkin akan ditangguhkan," katanya yang menjangkakan harga minyak mentah akan terus kekal rendah buat masa ini memandangkan lebihan bekalan serta ketidaktentuan pasaran global.

Berita Harian X