Rabu, 6 Januari 2016 | 7:04pm

Arab Saudi jimat AS$7b kurang subsidi minyak

RIYADH: Arab Saudi dijangka menjimatkan sehingga AS$7 bilion (RM30.39 bilion) setahun selepas mengurangkan subsidi runcit minyaknya, bagi menampung kekurangan pendapatan ekoran harga minyak mentah yang rendah, demikian mengikut satu laporan semalam.

Jadwa Investment menyatakan, penjimatan langsung adalah berikutan kenaikan harga diesel yang berjumlah AS$2.75 bilion (RM11.94 bilion) dan levi petrol dijangka memberi penjimatan tambahan AS$2.5 bilion (RM10.85 bilion).

Baki penjimatan akan diperoleh daripada peningkatan harga dalam gas asli, bahan api kenderaan dan propana.

Jumlah kos subsidi tenaga bagi negara pengeksport minyak utama dunia itu adalah dianggarkan sebanyak AS$61 bilion (RM264.82 bilion) tahun lalu.

Arab Saudi merekodkan bajet defisit berjumlah AS$98 bilion (RM425.45 bilion) tahun lalu, iaitu 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia menjangkakan jumlah itu berkurangan kepada AS$87 bilion (RM377.69 bilion) tahun ini. Negara itu mencatat bajet defisit berjumlah AS$18 bilion (RM78.14) pada tahun 2014.

Bulan lalu, ahli utama OPEC menaikkan harga petrol, diesel, minyak mentah, etana, gas asli, bahan api kenderaan dan elektrik sehingga 80 peratus.

Agensi penarafan, Fitch berkata bajet Arab Saudi tahun ini mengandungi perubahan ketara dan diikuti pengurangan perbelanjaan utama pada separuh kedua 2015.

"Defisit lebih rendah dari jangkaan pada 2015 sebahagian besarnya mencerminkan langkah pengurangan perbelanjaan yang diperkenalkan pada tahun berkenaan termasuk 'penelitian yang lebih besar' dalam perbelanjaan modal," kata Fitch.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan agensi lain sebelum ini mengunjurkan bajet defisit Arab Saudi tahun lalu sebanyak AS$130 bilion (RM564.37 bilion).

Arab Saudi kebiasaannya berbelanja lebih daripada unjuran bajet. Menurut Fitch, tahun lalu negara itu memperlihatkan paras perbelanjaan lebih adalah lebih rendah sejak 1999 kepada hanya 13.4 peratus berbanding dengan purata 10 tahunnya iaitu 24 peratus.

"Tanpa kos yang berlaku sekali sahaja untuk kerabat diraja selepas pelantikan Raja Salman dan perbelanjaan tambahan untuk ketenteraan dan keselamatan, perbelanjaan mungkin menjadi hampir kepada bajet," kata agensi itu.

Pendapatan negara itu tahun lalu susut kepada AS$162 bilion (RM703.29 bilion), paras terendah sejak krisis kewangan global pada 2009 disebabkan kejatuhan besar AS$123 bilion (RM533.98 bilion) dalam pendapatan minyaknya.

Sumbangan pendapatan minyak kepada pendapatan negara susut kepada hanya 73 peratus pada 2015, daripada purata 90 peratus dalam tempoh sedekad.

Bagi membiayai bajet 2016, kerajaan Arab Saudi menarik diri daripada menerbitkan rizab fiskal dan bon berskala besar dalam pasaran domestik.

Rizab negara itu susut daripada AS$732 bilion (RM3.177 trilion) pada akhir 2014 kepada AS$632 bilion (RM2.74 trilion) pada November.

Negara itu di jangka menerbitkan bon domestik bernilai sekitar AS$30 bilion (RM130.24 bilion) sejak Julai, peningkatan dalam hutang awam kepada AS$38 bilion (RM164.97 bilion) atau 5.8 peratus daripada KDNK.

Berita Harian X