Selasa, 5 Januari 2016 | 8:02am

Tiada kenaikan harga kenderaan Mercedes-Benz

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia tidak akan menaikkan harga bagi semua kenderaan keluarannya pada permulaan tahun baharu ini.

Menurut pembuat automotif premium terkemuka itu, ia akan terus memantau kesemua faktor yang mempengaruhi harga kenderaannya.

"Bagi kepentingan pelanggan kami, kami terus menyediakan pengalaman produk terbaik dan perkhidmatan pelanggan pada harga yang kompetitif," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Mercedes-Benz Malaysia turut mengumumkan kenderaan hibrid mewah pemasangan tempatan iaitu S400L Hybrid dan E300 BlueTec Hybrid, diberi lanjutan pengecualian duti import dan cukai eksais.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Claus Weidner, berkata syarikat gembira dengan pemberian pengecualian itu dan akan terus melabur di Malaysia menyokong aspirasi negara untuk menjadi hab kenderaan cekap tenaga (EEV).

Katanya, hibrid yang dikeluarkan secara tempatan itu pastinya bukti kerjasama erat antara Mercedes-Benz Malaysia dan pemegang kepentingan automotif tempatan kami, dari segi produk dan pengetahuan teknologi.

"Dalam komitmen kami kepada pasaran automotif Malaysia dan pelanggan, kami melabur secara mapan ke dalam kilang pengeluaran kami dan membawa teknologi sesuai yang menjurus untuk menyokong aspirasi negara ini menjadi hab EEV," katanya.

Sejak 2003, Mercedes-Benz Malaysia melabur lebih RM800 juta untuk pemasangan, pengedaran dan pemasaran kenderaan penumpang Mercedes-Benz di Malaysia, menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Berita Harian X