Selasa, 5 Januari 2016 | 12:47am

Konflik Asia Barat tak dijangka naikkan harga minyak

 

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah diunjurkan berlegar pada paras AS$40 hingga AS$50 setong tahun ini, meskipun wujud kebimbangan gangguan bekalan susulan ketegangan politik di antara Arab Saudi dan Iran.

Prospek pertumbuhan ekonomi yang masih perlahan di China dan lebihan bekalan minyak mentah global dijangka terus memberi tekanan kepada harga komoditi itu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata setakat ini masih terdapat peningkatan dalam jumlah minyak yang dihasilkan anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Beliau berkata, perangkaan terkini menunjukkan 32.9 juta tong minyak mentah sehari dikeluarkan pada Disember 2015 oleh anggota OPEC, meningkat 8.1 peratus berbanding bulan yang sama pada 2014.

"Justeru, agak sukar untuk mengatakan konflik di Asia Barat akan melonjakkan harga minyak mentah dalam jangka masa terdekat kerana aktiviti pengeluaran minyak masih meningkat," katanya kepada BH.

Beliau mengunjurkan harga minyak mentah akan berlegar pada paras AS$50 setong tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai permintaan minyak ketika ini, Afzanizam berkata, permintaannya masih lagi lemah berbanding penawaran sejajar dengan prospek pertumbuhan negara pengguna minyak terbesar masih samar.

Beliau berkata, kira-kira satu pertiga penggunaan minyak adalah dari negara Asia Pasifik seperti China, Jepun, India, Korea Selatan dan Indonesia.

"Faktor permintaan minyak adalah sesuatu yang amat kritikal bagi menyokong harga minyak kerana sekiranya terdapat peningkatan dalam permintaan, ia akan mengurangkan stok simpanan minyak sedia ada.

"Namun, kini terdapat lebihan penawaran dalam pasaran minyak global," katanya.

Mengenai kesan terhadap Malaysia jika harga minyak terus jatuh dengan mencecah paras AS$20 setong, Afzanizam berkata, sekiranya ia berlaku, kerajaan akan mengkaji daripada pelbagai sudut mengenai pelan tindakan yang diambil.

Katanya, jika harga minyak yang rendah itu berpanjangan dan kekal rendah di bawah paras digunakan kerajaan dalam penyediaan Bajet 2016, sudah pasti ia memberi impak kepada negara dan semakan semula bajet perlu dilakukan.

"Sekiranya berlaku semakan bajet, ia seharusnya tidak dipandang negatif kerana kita perlu bersikap realistik dalam menggemblengkan sumber kerajaan yang terhad.

"Dalam hal ini, sasaran defisit fiskal perlu bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa memandangkan apa yang berlaku (kejatuhan harga minyak) adalah di luar bidang kuasa kerajaan.

"Di samping itu, terdapat keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi domestik, terutama penggunaan swasta yang mana pengguna masih berdepan kenaikan kos sara hidup," katanya.

Sementara itu, Malaysia Rating Corporation Bhd (MARC) berpendapat, kadar pengeluaran minyak daripada negara anggota OPEC dan bukan OPEC akan menentukan hala tuju harga minyak mentah global pada masa depan.

Firma penarafan itu mengunjurkan harga minyak akan terus menerima tekanan sehingga separuh pertama 2016 berikutan lebihan bekalan, sebelum pulih sedikit pada separuh kedua tahun ini.

MARC mengunjurkan harga minyak akan berlegar antara AS$40 hingga AS$50 setong pada separuh kedua 2016.

Pada dagangan semalam, harga minyak mentah Brent susut AS$0.005 kepada AS$37.23 setong pada 0900 GMT, selepas mencecah paras dagangan harian tinggi pada paras AS$38.50 setong.

Kontrak minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) jatuh AS$0.10 sen kepada AS$36.94 setong.

Berita Harian X