Isnin, 4 Januari 2016 | 3:10pm

Connect rancang labur RM20 juta tingkatkan kapasiti di China

KUALA LUMPUR: ConnectCounty Holdings Bhd (Connect) merancang untuk melabur sehingga RM20 juta bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran di China.

Kemudahan itu mengeluarkan produk antara sambung seperti kabel khas, kabel USB, serta kabel audio dan visual.

Dalam satu kenyataan hari ini, Connect berkata ia juga merancang menambah jumlah tenaga kerja sehingga 40 peratus menjelang akhir 2016.

"Connect berada pada kedudukan baik untuk meneroka industri yang semakin meningkat ini kerana kami mempunyai pengalaman dan kepakaran, selain perkembangan positif dalam pengembangan kapasiti kami sambil menembusi pasaran dan industri baharu," kata Pengarah Eksekutifnya, Ang Chuang Juay.

Connect berkata, jualan global antara sambung pada 2014 mencecah AS$190 bilion, meningkat 8.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Berdasarkan data Infobusiness Research and Consulting Sdn Bhd, jualan global dijangka mengembang dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) pada 6.1 peratus bagi tempoh 2015 dan 2020, mencecah AS$266.4 bilion.

Syarikat juga dijangka dapat memanfaatkan statusnya sebagai vendor yang dibenarkan kepada Technicolour Cisco, peneraju pasaran global yang mempunyai jualan tahunan bernilai RM14 bilion dan mengeksport 60 juta peranti setiap tahun.

Menurut Ang, industri antara sambung bertumbuh pesat seiring dengan peningkatan permintaan terhadap alat elektronik serta pembangunan dan aplikasi teknologi Internet of Things (IoT).

"Sektor automotif juga menyumbang kepada peningkatan permintaan peranti antara hubung. Malah, ia menjadi pasaran produk akhir terbesar bagi antara sambung memandangkan peranti itu diguna dalam pelbagai aplikasi, termasuk lampu dan kawalan keselamatan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X