Selasa, 29 Disember 2015 | 3:54pm

Arab Saudi rekod defisit, laksana potongan subsidi minyak

RIYADH: Arab Saudi mengumumkan mencatatkan rekod bagi bajet defisitnya serta mengurangkan subsidi bahan api dan utiliti kerana negara pengeluar minyak terbesar dunia itu terjejas dengan kejatuhan mendadak harga minyak mentah global.

Harga petrol di negara itu meningkat lebih 50 peratus bagi sesetengah produk bermula semalam, kata pihak berkuasa berkenaan, selepas negara pengeksport terbesar minyak mentah berkata ia mencatatkan defisit sebanyak AS$98 bilion pada 2015.

Riyadh juga mengunjurkan pengurangan AS$87 bilion dalam bajet tahun depan, yang pertama sejak Raja Salman mengambil alih pemerintahan pada Januari lalu.

Kementerian Kewangan Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata, pendapatan pada 2015 dijangka berjumlah 608 bilion riyal (AS$162 bilion), terendah sejak 2009 apabila harga minyak jatuh berikutan krisis kewangan global.

Bajet dibuat di tengah-tengah persekitaran ekonomi serantau dan antarabangsa yang mencabar termasuk harga minyak yang rendah, kata kenyataan itu.

Defisit 2015 adalah tertinggi dalam sejarah Arab Saudi, yang bergantung kepada minyak bagi 90 peratus pendapatan awam, tetapi tidak sebesar yang dijangkakan sesetengah pihak.

Pendapatan pada 2015 adalah 15 peratus lebih rendah daripada diunjurkan dan 42 peratus lebih rendah berbanding 2014, selepas harga minyak jatuh sebanyak hampir satu pertiga sejak pertengahan 2014 ke bawah paras AS$40 setong.

Kejatuhan itu sebahagian besarnya berikutan dasar Arab Saudi dan anggota dalam negara Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), yang enggan mengurangkan pengeluaran minyak.

Harga minyak jatuh ekoran maklum balas kepada kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, dengan kontrak penanda minyak mentah AS, West Texas Intermediate jatuh AS$1.29 kepada AS$36.81 setong, sementara minyak mentah Brent susut AS$1.27 kepada AS$36.62 setong di London.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan defisit 2015 adalah sekitar AS$130 bilion dan laporan lain juga mengunjurkan ia lebih AS$100 bilion.

Kementerian Kewangan Arab Saudi berkata, pendapatan minyak mewakili 73 peratus daripada jumlah pendapatan pada 2015, di lebih rendah berbanding sumbangan pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, pendapatan bukan minyak meningkat 29 peratus kepada AS$43.6 bilion.

Bajet 2016 mengunjurkan pendapatan sebanyak AS$137 bilion, terendah dalam tempoh enam tahun dan perbelanjaan sebanyak AS$224 bilion, lebih rendah berbanding unjuran 2015 berjumlah AS$229 bilion.

Perbelanjaan tahun ini sebanyak AS$260 bilion, kata kementerian itu.

Katanya, hampir sama dengan perbelanjaan 2013 dan jatuh 6.6 peratus berbanding 2014.

Arab Saudi lazimnya terlebih belanja daripada unjuran bajetnya sebanyak sekitar 20 peratus.

Kementerian Kewangan negara itu berkata, ia merancang beberapa siri langkah untuk mengekang perbelanjaan termasuk program lima tahun untuk mengurangkan subsidi elektrik dan bahan api.

Langkah pantas pihak berkuasa diambil selepas angka bajet dikeluarkan, dengan agensi berita rasmi SPA melaporkan peningkatan harga petrol dan berkata kerajaan akan mengurangkan subsidi elektrik, air, diesel dan minyak tanah.

Subsidi berkenaan adalah isu paling sensitif di Arab Saudi, yang mana penduduknya membesar dalam persekitaran kos utiliti dan bahan api yang rendah.

Harga bagi petrol tanpa plumbum gred tinggi akan meningkat kepada 0.90 riyal (AS$0.24) seliter daripada 0.60 riyal, meningkat 50 peratus.

Petrol gred rendah akan meningkat kepada 0.75 riyal daripada 0.45 riyal seliter, meningkat dua pertiga.

Konglomerat Arab Saudi, Aramco berkata dalam Twitter bahawa ia menutup stesen minyaknya serta merta sehingga tengah malam Isnin, apabila ia memulakan jualan pada harga baharu.

Kementerian Kewangan Arab Saudi juga menimbang rancangan untuk menaikkan caj perkhidmatan awam dan melaksanakan cukai nilai tambah dalam kerjasama dengan negara Teluk Arab lain, yang juga berdepan tekanan yang sama daripada kejatuhan harga minyak.

Ia mendedahkan penstrukturan semula fiskal dan ekonomi untuk menjadikan bajet lebih mapan, termasuk satu program untuk mengekang pertumbuhan perbelanjaan, terutama bagi upah dan manfaat yang mewakili separuh bajet 2015.

Suku daripada perbelanjaan tahun depan atau AS$57 bilion, diperuntukkan untuk perbelanjaan pertahanan dan keselamatan, kata kementerian itu.

Adalah tidak jelas berapa jumlah kos campur tangan Arab Saudi di Yaman yang tidak disiarkan sebelum ini bagi perbelanjaan pertahanan.

IMF memberi amaran kepada Riyadh bahawa kegagalan untuk mengurangkan perbelanjaan dan melaksanakan penstrukturan semula akan menjejaskan rizab fiskal negara itu dalam tempoh lima tahun.

Arab Saudi mengeluarkan lebih AS$80 bilion tahun ini daripada rizabnya, yang berada pada paras AS$732 bilion pada akhir 2014, dan menerbitkan bon bernilai sekitar AS$20 bilion.

Kementerian Kewangan negara itu juga berkata, keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal bagi 2015 dijangka jatuh 13.35 peratus kepada AS$653 bilion.

Ekonomi negara itu diunjurkan berkembang sebanyak 3.35 peratus tahun ini. - AFP

Berita Harian X