Selasa, 22 Disember 2015 | 7:17pm

MHB raih kontrak bernilai RM527 juta

KUALA LUMPUR: Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) memperoleh kontrak bernilai RM527 juta bagi kerja fabrikasi struktur luar pesisir dan kerja struktur perpaipan serta mekanikal elektro Pembangunan Bersepadu Petrokimia dan Penapisan (RAPID).

Kontrak pertama adalah kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk pelantar dan struktur atas (WHP), sistem telekomunikasi dan instrumentasi platform baharu F12 serta sistem telekomunikasi dan instrumentasi pelantar sedia ada.

Kemudahan F12 terletak di lapangan gas Kluster Kumang, 180 kilometer barat laut Bintulu, Sarawak dengan kedalaman air 101 meter.

Projek itu yang dianugerahkan oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd dijadual disiapkan dalam tempoh 12 bulan selepas Surat Penganugerahan ditandatangani.

Kontrak terbaharu itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuh MHB iaitu Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Abu Fitri Abdul Jalil, berkata syarikat sedang mencuba yang terbaik untuk terus menambah kontrak dalam tangan.

Dengan kontrak terbaharu itu, katanya, MHB sehingga kini memperoleh projek dianggarkan bernilai RM975 juta.

"Kami akan terus meninjau projek luar pesisir dan di darat, di samping kerja baik pulih marin sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Ogos lalu, MHB memperoleh dua kontrak bagi projek RAPID daripada Toyo Engineering Corporation.

Kontrak pertama membabitkan fabrikasi perpaipan berpusat bagi kompleks pemisahan stim Pakej-5. Kerja fabrikasi utama dijangka berakhir Disember 2016 dan keseluruhan projek siap pada April 2017.

Kontrak berikutnya adalah kerja struktur keluli dan perpaipan bagi kompleks pemisahan stim di kawasan kilang penapisan gas (RoG).

Bagi kontrak keempat, MHB dalam satu konsortium bersama China Huanqiu Contracting & Engineering Corporation (HQC), dianugerahkan kontrak kerja mekanikal elektro bagi Pakej-3 RAPID.

Projek itu yang dianugerahkan oleh Technicas Reunidas, termasuk membina struktur paip, menara serombong, mekanikal, penebatan, paip elektrik dan instrumen. Ia dijangka bermula bulan depan dan siap Julai 2017.

MHB juga dianugerahkan satu lagi kerja sub kontrak RAPID oleh Punj Lloyd Sdn Bhd bagi Pakej-22 RAPID.

Skop kerjanya membabitkan pra-fabrikasi struktur plet, fabrikasi, mengecat dan 'blasting' (membersihkan permukaan). Kontrak dijangka bermula bulan ini dan siap pada Disember 2016.

Berita Harian X