Isnin, 14 Disember 2015 | 8:14pm

Iskandar Malaysia tarik pelaburan RM187.96 bilion

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Wilayah pembangunan Iskandar (IRDA) kali ke-18, di bilik mesyuarat Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Wilayah pembangunan Iskandar (IRDA) kali ke-18, di bilik mesyuarat Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Iskandar Malaysia, koridor ekonomi di selatan Johor, berjaya menarik pelaburan berjumlah RM187.96 bilion dari 2006 hingga November 2015, demikian menurut Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Daripada jumlah itu, 50 peratus atau RM93.39 bilion mewakili pelaburan yang telah direalisasikan, kata IRDA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat Ahli-ahli IRDA yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini.

IRDA yang diberi mandat untuk merancang, mempromosi dan menjadi pemudah cara kepada pembangunan di Iskandar Malaysia, dalam kenyataan itu juga memaklumkan Iskandar Malaysia memperoleh pelaburan sebanyak RM29.83 bilion dari Januari hingga November tahun ini.

Menurut IRDA, setakat ini, pelabur tempatan menyumbang sebanyak RM111.82 bilion (59 peratus) kepada jumlah pelaburan komited terkumpul, manakala baki RM76.14 bilion atau 41 peratus disumbangkan oleh pelabur asing.

"Antara sektor-sektor yang digalakkan, sektor pembuatan mencatatkan pelaburan komited terkumpul tertinggi sebanyak RM52.10 bilion. Ini termasuk pelaburan dari sektor elektrik dan elektronik, petrokimia dan oleokimia serta pemprosesan agro dan makanan," menurut kenyataan itu.

Ia diikuti oleh logistik (RM5.70 bilion), pelancongan (RM3.10 bilion), penjagaan kesihatan (RM2.77 bilion), pendidikan (RM2.06 bilion), perkhidmatan perundingan dan nasihat kewangan (RM0.74 bilion) dan industri kreatif (RM0.56 bilion).

Sektor lain yang menyokong pertumbuhan Iskandar Malaysia termasuklah pembangunan hartanah di mana segmen kediaman, peruncitan dan perindustrian secara keseluruhannya menyumbang kepada pelaburan terkumpul sebanyak RM96.13 bilion sehingga 20 November 2015, diikuti dengan utiliti (RM12.96 bilion), pelaburan kerajaan, berfokus pada infrastruktur dan kerja-kerja awam (RM8.99 bilion) dan teknologi terkini (RM2.85 bilion).

Pada majlis itu, Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon 2025 bagi lima pihak berkuasa tempatan (PBT) di Iskandar Malaysia, turut dilancarkan.

Pelan itu dilancarkan oleh Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Najib dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Lima pihak berkuasa tempatan itu ialah Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Majlis Daerah Pontian (MDP).

Menurut IRDA, setiap pihak berkuasa tempatan mempunyai program tersendiri berdasarkan 12 tindakan yang bersesuaian dengan geografi, ekonomi dan keperluan masyarakat bagi kawasan masing-masing.

"Pelan tindakan itu adalah sebahagian daripada Bajet Negeri Johor 2016 di bawah agenda Johor Lestari," menurut kenyataan IRDA itu.

Pelancaran pelan tindakan itu adalah susulan kepada pengumuman sama oleh IRDA pada Conference of Parties (COP 21) di Paris, Perancis, pada minggu lalu.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim, berkata komitmen lima pihak berkuasa tempatan itu diperlukan bagi merealisasikan sasaran Iskandar Malaysia mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 50 peratus menjelang 2025 seperti digariskan dalam Rancangan Pembangunan Komprehensif di Iskandar Malaysia 2014-2025 (CDPii).

- BERNAMA

Berita Harian X