Selasa, 24 November 2015 | 6:14pm

Pelabur Jerman yakin potensi Malaysia

FRANKFURT: Pelabur Jerman optimis akan potensi Malaysia susulan keyakinan meluas dalam persekitaran mesra perniagaannya yang diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Komuniti ASEAN dan pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada hujung tahun ini.

Ketika berkongsi pandangan itu, rata-rata eksekutif korporat dan pakar perdagangan Jerman yang mengenali Malaysia dan Asia Tenggara berkata kini "hampir semua peserta korporat terkemuka Jerman" ada di Malaysia.

Malah sesetengah daripada mereka memperkukuhkan lagi kehadiran mereka di Malaysia dengan sasaran meneroka potensi besar daripada penubuhan AEC, pasaran tunggal dengan lebih 620 juta pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Schmidt + Clemens (S+L) Group, Jan J. Schmidt-Krayer berkata, Malaysia adalah tempat yang baik untuk menjalankan perniagaan kerana kos tenaga lebih rendah, sistem cukai yang mudah selain senang memperoleh permit pembinaan.

Beliau yang memuji penubuhan AEC kerana hampir menyamai Kesatuan Eropah, berkata AEC adalah idea yang bagus terutama dari konteks perdagangan antarabangsa serta pemansuhan tarif import.

"Kami mengimport bahan mentah yang bebas cukai. Pangkalan pelanggan kami ialah industri petrokimia termasuk Petronas," katanya.

Beribu pejabat di Lindlar, North Rhine Westphalia, S+L yang melabur 14 juta euro (STG1 > RM4.572) untuk membangunkan fasiliti pengeluaran baharu di Kawasan Perindustrian bandar Sri Sendayan, Seremban, adalah pengeluar antarabangsa terkemuka bagi komponen keluli aloi tinggi untuk industri petrokimia.

Syarikat itu, mempunyai kira-kira 1,000 pekerja di seluruh dunia dengan perolehan lebih 30 juta euro dan operasi di Sri Sendayan itu adalah untuk eksport ke rantau dan negara lain.

- BERNAMA

Berita Harian X