Khamis, 5 November 2015 | 6:21pm

Jakarta tuan rumah WIEF Ke-12 pada Mei 2016

PENGERUSI Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam (kiri) dan Menteri Kewangan, Republik Indonesia, Bambang Permadi Soemantri Brodjonegoro, bertukar dokumen pada Forum Islam ke-11 Dunia di KL Pusat Konvensyen. - Foto Salhani Ibrahim
PENGERUSI Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam (kiri) dan Menteri Kewangan, Republik Indonesia, Bambang Permadi Soemantri Brodjonegoro, bertukar dokumen pada Forum Islam ke-11 Dunia di KL Pusat Konvensyen. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-12, yang dijadualkan berlangsung di Jakarta selama tiga hari bermula 20 Mei, 2016, akan mempromosikan beberapa bidang termasuk sukuk bagi pelaburan infrastruktur, zakat dan wakaf serta pelancongan Islam, kata Menteri Kewangan Indonesia, Bambang Brodjonegoro.

Beliau berkata, topik itu dipilih memandangkan ekonomi Islam semakin diiktiraf di peringkat dunia sebagai pendekatan alternatif utama bagi meneruskan pelbagai objektif ekonomi.

"Sistem kewangan syariah agak sukar semasa krisis, manakala produk dan instrumennya dapat menyediakan layanan yang lebih saksama dan mampan kepada semua pihak.

"Banyak kerajaan dan pelabur, tempatan dan antarabangsa, telah meneroka lebih mendalam mengenai ekonomi Islam dan bagaimana ia boleh dimasukkan ke dalam sistem ekonomi global utama," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup WIEF ke-11 yang berlangsung tiga hari, bermula 3 November di sini.

Brodjonegoro berkata, WIEF memainkan peranan penting dalam membantu sektor awam dan swasta di dalam dan di luar negara-negara Islam untuk mencari jalan terbaik bagi ekonomi dan kewangan Islam untuk memberi manfaat kepada komuniti perniagaan.

"Saya percaya perjumpaan tahun ini telah dapat mencapai objektif memudahkan perbahasan dan dialog dalam kalangan wakil-wakil kerajaan dan komuniti perniagaan serta pihak berkepentingan lain yang penting untuk menggalakkan nilai perniagaan merentas sempadan dan perkongsian ekonomi.

"Dan tahun depan, kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan penganjuran WIEF yang berjaya," katanya.

Tahun depan menandakan kali kedua Indonesia menganjurkan WIEF, selepas Forum WIEF keempat diadakan pada 2009.

Dalam masa kurang daripada setahun, WIEF ke-12 akan diadakan serentak dengan Mesyuarat Tahunan ke-41 Bank Pembangunan Islam Indonesia dan Mesyuarat Berkaitan pada 15 hingga 19 Mei, 2016.

Mesyuarat akan diadakan berturut-turut untuk meningkatkan pendedahan mereka dan saling melengkapi peranan masing-masing.

- BERNAMA

Berita Harian X