Sabtu, 24 Oktober 2015 | 3:33pm

Prospek pertumbuhan kewangan Islam Malaysia dijangka terus kukuh - Zeti

CANSELOR INCEIF, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (kanan) ketika Majlis Konvokesyen ke-7 2015 Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
CANSELOR INCEIF, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (kanan) ketika Majlis Konvokesyen ke-7 2015 Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Prospek industri kewangan Islam Malaysia dijangka terus kukuh dan pertumbuhannya juga sejajar aspirasi negara untuk muncul sebagai hab global, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

"Ia (industri) yang akan terus berkembang. Dimensi antarabangsanya juga akan terus meningkat sejajar usaha kita untuk menjadi sebuah hab kewangan Islam global," katanya selepas menyampaikan sijil kepada graduan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di sini, hari ini.

Zeti yang juga Canselor INCEF, menyifatkan konvokesyen membabitkan 248 graduan daripada 40 negara sebagai inisiatif bagi menyediakan modal insan cemerlang untuk memacu dan melonjakkan industri kewangan Islam.

Warga tempatan mewakili 55 peratus daripada graduan hari ini diikuti Somalia, Indonesia, Pakistan, Yemen, Brazil, Amerika Syarikat dan Jerman.

"Ini akan menjadi lonjakan besar industri ini yang berdepan rungutan kekurangan modal insan. Malah, inilah sebabnya kita menubuhkan INCEIF.

"Ia adalah pelaburan Bank Negara dan ternyata mencapai semua yang kita harapkan bagi membangunkan modal insan serta melakukan tugas penyelidikan," katanya.

Malah, kata Zeti, Malaysia juga kian diiktiraf di peringkat dunia sebagai peneraju dalam bidang kewangan Islam.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF, Daud Vicary Abdullah, berkata Malaysia sememangnya diperakui sebagai peneraju bagi segenap aspek kewangan Islam termasuk perundangan, struktur tadbir urus, laporan bebas, sumber manusia serta instrumen pembangunan.

"Malah, Malaysia adalah dua kali ganda ke depan berbanding pesaing terdekatnya, baik dari segi infrastruktur untuk pembangunan dan sokongan bagi kewangan Islam," katanya.

Malaysia juga, kata Daud, perlu meneruskan usaha menghasilkan lebih ramai graduan berkualiti pelbagai negara dalam usaha penyebaran ilmu kewangan Islam berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X