Jumaat, 23 Oktober 2015 | 4:58pm

PNK nominal dijangka meningkat 5.6 peratus 2016

KUALA LUMPUR: Pendapatan Negara Kasar (PNK) nominal per kapita dijangka meningkat sebanyak 5.6 peratus kepada RM38,438 pada 2016 daripada RM36,397 pada 2015 berikutan hasil pertumbuhan kukuh ekonomi.

Kementerian Kewangan berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka kekal kukuh pada tahun depan dengan pertumbuhan KDNK benar antara 4.5 peratus dan 5.0 peratus yang diterajui oleh permintaan domestik.

"Perbelanjaan sektor swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan penggunaan swasta dijangka berkembang sebanyak 6.4 peratus manakala pelaburan swasta sebanyak 6.7 peratus.

"Kedudukan luaran Malaysia dijangka kekal positif, disokong oleh prospek pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia yang lebih baik," kata kementerian dalam Laporan Ekonomi 2015/2016 yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Walaupun nilai ringgit menyusut, inflasi dijangka kekal rendah yang disumbangkan harga minyak mentah yang rendah serta kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang semakin reda dengan inflasi diunjur berada dalam lingkungan antara 2.0 peratus dan 3.0 peratus pada 2016 .

Menurut laporan itu, inflasi kekal sederhana pada kadar purata 1.9 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama 2015, jauh lebih rendah berbanding 3.3 peratus dalam tempoh sama pada 2014.

Kerajaan juga komited untuk mengukuhkan kedudukan fiskal yang mana defisit fiskal dijangka terus berkurangan kepada 3.1 peratus daripada KDNK pada tahun 2016, daripada 3.2 peratus pada 2015.

"Sementara itu, tahap hutang kerajaan Persekutuan masih terkawal dalam had berhemat sebanyak 55 peratus daripada KDNK," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X