Isnin, 19 Oktober 2015 | 7:31pm

Jualan kenderaan pada September naik 7 peratus

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan pada September naik tujuh peratus kepada 51,106 unit berbanding 47,771 unit pada bulan yang sama tahun lalu, demikian menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Jualan bagaimanapun susut 4.4 peratus, atau 2,346 unit, berbanding jumlah pada bulan sebelumnya yang sebanyak 53,452 unit.

"Jumlah jualan bagi tahun ini sehingga September yang sebanyak 485,388 unit adalah 1.4 peratus atau 6,934 unit lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2014," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata jumlah jualan yang lebih rendah itu disebabkan oleh ketidaktentuan dalam perniagaan disebabkan oleh penyusutan ringgit dan kelembapan ekonomi.

"Sentimen pengguna kekal lemah," katanya.

Mengenai prospek bagi Oktober, MAA berkata jumlah jualan dijangka kekal pada paras September, disokong oleh kempen promosi akhir tahun yang agresif. - BERNAMA

Berita Harian X