Selasa, 13 Oktober 2015 | 3:44pm

MIDA sasar pelaburan RM170b sektor pembuatan, perkhidmatan

DATUK Phang Ah Tong (tengah) menandatangani plak perasmian pejabat baru BOSCH, sambil disaksikan Presiden dan Pengarah Urusan BOSCH, Martis Hayes (kanan) dan Pengarah Urusan BOSCH Malaysia, Simon Song (kiri) di Wisma SP Setia Bukit Indah, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
DATUK Phang Ah Tong (tengah) menandatangani plak perasmian pejabat baru BOSCH, sambil disaksikan Presiden dan Pengarah Urusan BOSCH, Martis Hayes (kanan) dan Pengarah Urusan BOSCH Malaysia, Simon Song (kiri) di Wisma SP Setia Bukit Indah, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHARU: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mensasarkan pelaburan RM170 bilion bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Phang Ah Tong, berkata bagi separuh pertama tahun ini, MIDA sudah meluluskan kira-kira RM49 bilion pelaburan sektor pembuatan dan RM62 bilion bagi sektor perkhidmatan.

"Ini bermakna pelaburan bagi kedua-dua segmen itu sudah melebihi RM110 bilion. Namun, menjelang akhir tahun ini, kita menjangka untuk memperoleh jumlah pelaburan sekurang-kurangnya RM170 bilion bagi kedua-dua sektor itu," katanya selepas pembukaan pejabat jualan baharu Bosch di Bukit Indah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sasaran pelaburan bagi sektor pembuatan menjelang akhir tahun ini.

Phang turut menyuarakan keyakinannya bahawa sektor pembuatan yang dibantu segmen perkhidmatan, akan terus memacu ekonomi Malaysia biarpun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

"Kita masih optimis mengenainya. Tahun depan, kita akan melihat pelaburan bidang elektronik, peralatan perubatan, aeroangkasa dan peralatan jentera manakala sektor minyak dan gas dijangka berdepan kelembapan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa setiap kerajaan negeri untuk berusaha mempertingkatkan aspek logistik dan infrastruktur bagi menarik lebih banyak syarikat multinasional melabur di negeri masing-masing.

"Apabila satu-satu syarikat memutuskan untuk mewujudkan entiti atau kehadiran mereka di lokasi tertentu, maka mereka juga akan menimbangkan faktor termasuk kestabilan ekonomi, tawaran modal insan, infrastruktur dan sebagainya. Ini menjadi keseluruhan pakej itu," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Phang menyifatkan pembukaan pejabat baharu Bosch di Johor itu sebagai bertepatan dengan masanya untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan pasaran di rantau ini, khususnya menerusi usaha merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau yang dapat meningkatkan akses pasaran di sekitar negara anggotanya.

- BERNAMA

Berita Harian X