Isnin, 12 Oktober 2015 | 3:18pm

Moody's: TPP positif kredit terutama bagi negara Asia

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) baru-baru ini positif dari segi kredit ke atas semua 12 negara yang menyertainya, terutama di Asia, kata Moody's Investors Service.

Perjanjian itu akan mengurangkan kos perdagangan dan membuka peluang pelaburan baharu selain menyokong pertumbuhan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perjanjian perdagangan bebas (FTA) - antara Australia (Aaa stabil), Brunei (Tidak dinilai), Kanada (Aaa stabil), Chile (Aa3 stabil), Jepun (A1 stabil), Malaysia (A3 positif), Mexico (A3 stabil), New Zealand (Aaa stabil), Peru (A3 stabil), Singapura (Aaa stabil), Amerika Syarikat (Aaa stabil) dan Vietnam (B1 stabil) - akan meningkatkan akses pasaran, menghapuskan atau menurunkan tarif dan standard dalam bidang termasuk hak harta intelek, alam sekitar serta syarat tenaga kerja, serta perolehan kerajaan, kata agensi penarafan itu.

Ia berkata, walaupun butiran lengkap perjanjian itu masih belum diterbitkan, akses yang lebih besar ke Amerika Syarikat untuk barang-barang membantu menjadikan negara-negara Asia penerima manfaat terbesar dari segi KDNK.

Kajian Moody's itu terkandung dalam satu laporan yang baharu dikeluarkan, bertajuk 'Perkongsian Trans-Pasifik Perkukuh Perdagangan dan Pertumbuhan, Positif Kredit'.

Pengilang pakaian dan kasut Vietnam akan memperoleh keuntungan daripada import duti yang lebih rendah daripada AS dan Jepun. Pengeksport minyak sawit, getah dan elektronik Malaysia pula bakal memperlihatkan nilai yang lebih tinggi daripada perjanjian TPPA itu.

Di Jepun, pembuat kereta dan peralatan auto juga meraih peluang baik daripada perjanjian itu.

Para petani Australia dan New Zealand juga akan memperoleh manfaat daripada peningkatan akses pasaran dan tarif yang rendah bagi barangan mereka.

Bagi Singapura, yang mempunyai perjanjian perdagangan dengan sembilan negara TPP, perjanjian itu akan melengkapkan pakatan yang sedia ada dan meningkatkan pelaburan dan perdagangan dengan negara rakan kongsi.

Satu lagi aspek positif daripada rundingan perdagangan itu ialah ia berperanan sebagai pemangkin kepada pembaharuan di beberapa negara di rantau ini, seperti Jepun dan Vietnam.

Antara aspek kredit negatif sederhana perjanjian perdagangan itu ialah ia boleh menjejaskan imbangan fiskal kerajaan apabila mengurangkan hasil kastam dalam jangka panjang.

Namun, pendapatan tambahan yang diterima daripada peningkatan pertumbuhan ekonomi hasil perjanjian itu dijangka mengimbangi kekurangan hasil daripada pemansuhan tarif, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X