Rabu, 7 Oktober 2015 | 9:58am

Untung suku ketiga Samsung naik hampir 80 peratus

SEOUL: Samsung Electronics mencatat peningkatan hampir 80 peratus dalam keuntungan operasi pada suku ketiga, yang mana mengikut penganalisis disandarkan kepada penyusutan mata wang Korea dan peningkatan jualan TV serta produk separa konduktor.

Pengeluar telefon pintar dan cip itu mencatat untung operasi kira-kira 7.3 trilion won (AS$6.3 bilion) bagi suku ketiga Julai-September 2015, naik 79.8 peratus daripada 4.1 trilion won dalam tempoh sama tahun lalu.

Angka terbaharu itu jauh lebih tinggi daripada unjuran penganalisis sebelum ini iaitu kira-kira 6.7 trilion won.

"Keuntungan operasi bagi suku ketiga jauh lebih tinggi daripada unjuran," kata Yoo Jong-Woo, penganalisis di Korea Investment and Securities Co.

Mengikut Jong-Woo, prestasi lebih baik itu sebahagian besarnya disebabkan penyusutan nilai mata wang won dan jualan lebih tinggi televisyen dan pelbagai peralatan rumah lain.

Penurunan nilai won menjadikan eksport Korea lebih berdaya saing di luar negara, sekali gus diterjemahkan dengan pendapatan luar negara lebih tinggi apabila ditukar dengan mata wang tempatan.

Jualan pada suku ketiga tahun ini diunjurkan mencecah 51 trilion won, naik 7.5 peratus daripada tempoh sama tahun lalu, kata syarikat itu.

Unjuran pendapatan yang diumumkan Samsung hari ini menjelang laporan kewangan beraudit yang akan diumumkan dalam tempoh sebulan lagi, tidak menyatakan pecahan jualan bagi setiap segmen perniagaan syarikat gergasi elektronik Korea Selatan itu. - AFP

Berita Harian X