Isnin, 14 September 2015 | 6:40pm

Khazanah umum pelaburan domestik tambahan RM6.77b

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd, mengumumkan jumlah pelaburan domestik tambahan sebanyak RM6.77 bilion bagi menyokong langkah ekonomi proaktif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengukuhkan asas ekonomi dan menangani kesan kegawatan kewangan dalam pasaran global ke atas ekonomi Malaysia.

Syarikat pelaburan strategik kerajaan berkata, sokongan dalam semua bidang berkaitan itu adalah sejajar dengan peranannya kepada negara di mana Khazanah sudah melaksanakan strategi pelaburan seimbang di pasaran domestik dan luar negara.

Mengikut Khazanah dalam kenyataannya, pelaburan tambahan berjumlah RM6.77 bilion itu adalah inisiatif menerusi pelbagai anak syarikatnya, syarikat pelaburan utama dan program pelaburan seperti Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, CIMB Bhd, Axiata Bhd, UEM Group Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd, Malaysia Airlines Bhd, Valuecap Bhd dan Iskandar Investment Bhd.

"Khazanah akan bekerjasama dengan syarikat pelaburan kami bagi menyokong langkah ekonomi proaktif di mana ia selaras dengan pelan komersial syarikat. Syarikat juga secara berkala mengumumkan inisiatif dan projek yang selaras dengan dasar dan strategi pelaburan Khazanah," katanya.

Pelaburan tambahan RM6.77 bilion merangkumi RM4.5 bilion bagi projek Desaru Coast Destination Resort (DCDR); Dana Teroka Pelancongan baharu bernilai RM50 juta; hospital baharu dan pembesaran hospital sedia ada di bawah IHH Healthcare Bhd (RM670 juta); perniagaan pemulihan pesakit baharu (RM100 juta); pembangunan Dataran Muzium dan Tugu Park (RM730 juta); Pelaburan bersama Sonneratia Capital dalam industri kreatif (RM50 juta); pelaburan dalam Proses Perniagaan Penyumberan Luar (BPO) (RM90 juta); tambahan RM115 juta untuk sektor teknologi dan inovasi tempatan; dan meningkatkan komitmen dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) membabitkan kos RM95 juta setahun.

Dalam pada itu, Khazanah berkata, antara Mei 2004 dan Disember 2014, Khazanah merekodkan peningkatan dalam portfolio Nilai Bersih Diselaraskan (NWA) kepada RM110.7 bilion daripada RM33.3 bilion.

"Pelaburan luar negara menjadi sebahagian daripadanya dan adalah mandat untuk meningkatkan pelaburan dan kehadiran kami di rantau ini dan peringkat global dari segi mempelbagaikan portfolio.

"Ini termasuk meningkatkan akses kepada teknologi, rangkaian dan membangunkan hubungan ekonomi dua hala dengan bahagian lain di dunia," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Setakat 31 Ogos 2015, pelaburan langsung luar negara adalah 17.8 peratus daripada portfolio Nilai Aset Nyata (RAV) Khazanah berjumlah RM139 bilion.

Dalam hal ini, katanya, Khazanah mengamalkan dasar sentiasa mengkaji dan pengimbangan semula portfolio pelaburannya di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

"Dalam konteks langkah proaktif yang diumumkan Perdana Menteri hari ini, Khazanah mengulangi komitmen untuk mengkaji semula dan kesesuaiannya untuk merangka pilihan pelaburan antarabangsanya untuk menyokong langkah berkenaan.

"Pada masa sama, syarikat akan terus melaksanakan strategi pelaburan sederhana dan jangka panjang yang seimbang, termasuk di mana ia sesuai dan dalam pelaburan antarabangsa, dengan cara yang teratur seperti yang dimandatkan serta diluluskan oleh Lembaga Pengarah Khazanah.

"Sektor dan pelaburan dipilih pada dasarnya yang menyediakan pengganda ekonomi yang lebih tinggi dalam negara, meningkatkan peluang pekerjaan, sokongan kandungan tempatan, meningkatkan prospek bagi pertukaran asing dan meningkatkan barangan awam dan inklusif kepada rakyat," katanya.

Ia termasuk riadah dan pelancongan, penjagaan kesihatan dan pelancongan kesihatan, industri kreatif yang berorientasikan eksport, inovasi dan teknologi dan sektor BPO.

Berita Harian X