Isnin, 14 September 2015 | 2:15pm

Bursa ditutup lebih tinggi pada tengah hari

Foto NSTP/Surianie Mohd Hanif
Foto NSTP/Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri dagangan sesi pagi dengan 8.92 mata lebih tinggi kepada 1,612.52 berikutan kenaikan dalam saham mewah berkaitan kewangan.

Indeks utama itu bergerak antara 1,612.76 dan 1,600.70 sepanjang sesi berkenaan.

Suasana pasaran bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 237 berbanding 388 manakala 252 kaunter tidak berubah, 939 tidak diniaga dan 20 lagi digantung.

Jumlah dagangan berada pada 974.34 juta saham bernilai RM648.98 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat tujuh sen kepada RM8.48, Public Bank untung dua sen kepada RM17.78, TNB menokok 18 sen kepada RM11.40 dan Axiata menambah 10 sen kepada RM5.91.

Pada papan skor, Indeks Emas FBM meningkat 49.97 mata kepada 11,079.09, Indeks FBMT100 naik 54.46 mata kepada 10,807.23 manakala Indeks Syariah Emas FBM menokok 57.08 mata kepada 11,608.42.

FBM 70 menambah 40.33 mata kepada 11,930.89 dan FBM Ace jatuh 77.76 mata kepada 5,400.87.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 74.15 mata kepada 14,090.06, Indeks Perladangan naik 5.35 mata kepada 6,895.42 manakala Indeks Perusahaan menokok 18.31 mata kepada 3,103.17.

Dalam kalangan saham aktif, Ingenuity Consolidated menambah setengah sen kepada tujuh sen manakala UEM Sunrise turun satu sen kepada RM1.05 dan iDimension untung satu sen kepada 91.5 sen.

Di pasaran serantau, Straits Times Singapura susut 0.42 peratus kepada 2,875.25, Nikkei 225 Jepun merosot 1.50 peratus kepada 17,987.75 dan Hang Seng Hong Kong menambah 0.87 peratus kepada 21,691.43. - BERNAMA

Berita Harian X