Khamis, 20 Ogos 2015 | 12:34pm

Kerajaan tidak akan laksana kawalan modal, tambat ringgit - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media mengenai ekonomi dan pasaran kewangan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. Turut hadir, Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim (kiri). - Foto BERNAMA</p>
<p>
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media mengenai ekonomi dan pasaran kewangan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. Turut hadir, Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim (kiri). - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan kerajaan tidak akan mengambil langkah kawalan modal dan menambat ringgit dalam mengekang kejatuhan ringgit ketika ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kejatuhan ringgit ketika ini adalah berikutan faktor luaran khususnya pengukuhan ketara dolar Amerika Syarikat ( AS).

Beliau berkata, paras ringgit ketika ini tidak mencerminkan asas ekonomi negara yang kukuh.

Katanya, kerajaan komited untuk melaksanakan langkah transformasi ekonomi.

"Kerajaan tegas untuk tidak melaksanakan kawalan modal dan tambatan ringgit.

"Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh seperti mana dicerminkan dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2015.

"Struktur ekonomi terus kukuh, disokong sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang 76.6 peratus daripada KDNK," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Najib berkata, daya tahan sistem kewangan kekal utuh dan pasaran kewangan domestik terus berfungsi dengan teratur dan aktiviti pengantaraan kewangan berfungsi dengan cekap, memenuhi keperluan kewangan dan pembiayaan ekonomi dalam negara.

Beliau berkata, kerajaan komited dalam meneruskan langkah pembaharuan dan pengukuhan kedudukan fiskal termasuk meneruskan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pengurangan defisit fiskal secara berperingkat ke arah mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

Najib berkata, kerajaan juga tetap komited terhadap dasar mesra pasaran dan mengekalkan integriti serta keterbukaan pasaran.

Berita Harian X