Selasa, 2 Jun 2015 | 2:14pm

16 syarikat utama tempatan laksana PPV - Mustapa

DATUK Seri Mustapa Mohamed. - Foto Salhani Ibrahim
DATUK Seri Mustapa Mohamed. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 syarikat utama tempatan melaksanakan Program Pembangunan Vendor (PPV) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) setakat ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, program itu membabitkan penyertaan aktif 2,923 syarikat vendor Bumiputera dengan jumlah nilai kontrak terkumpul sebanyak RM53.2 bilion.

"Program ini adalah antara strategi utama yang dilaksanakan kementeriannya dalam membangunkan syarikat Bumiputera sejajar dengan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 14 September 2013," katanya pada majlis perasmian program GLC SME ExplorAce 2015 di sini sebentar tadi.

Program dua hari itu anjuran MITI dengan kerjasama SME Bank, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dan Pharmaniaga Bhd.

Sebanyak 32 organisasi terbabit dalam menjayakan program GLC SME ExplorAce 2015.

Program tahun ini menyediakan platform meneroka peluang perniagaan kepada syarikat vendor di bawah PPV MITI melalui empat komponen utama iaitu aktiviti berbentuk pemadanan, jalinan perniagaan, khidmat nasihat dan perkongsian maklumat melalui sesi "pocket talk" serta sesi panel bersama syarikat vendor yang berjaya.

Berita Harian X