Rabu, 27 Mei 2015 | 3:16pm
HARGA minyak naik dalam dagangan Asia hari ini didorong kegiatan pembelian ketika harga murah selepas penurunan besar semalam. - Foto hiasan
HARGA minyak naik dalam dagangan Asia hari ini didorong kegiatan pembelian ketika harga murah selepas penurunan besar semalam. - Foto hiasan

Harga minyak naik dalam dagangan Asia

SINGAPURA: Harga minyak naik dalam dagangan Asia hari ini didorong kegiatan pembelian ketika harga murah selepas penurunan besar semalam berikutan pengukuhan dolar AS dan kebimbangan mengenai lebihan penawaran, kata penganalisis.

Kontrak penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Julai naik 44 cents kepada AS$58.47 manakala minyak mentah Brent naik 30 cents kepada AS$64.02 pada tengah hari.

Semalam, WTI jatuh AS$1.69 dan Brent jatuh AS$1.80.

Harga minyak dunia menghadapi tekanan berikutan peningkatan dolar seiring jangkaan Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah negara itu menjelang hujung tahun ini.

"Selepas harga minyak jatuh teruk semalam, peningkatan semasa adalah disebabkan pembelian ketika harga rendah," kata Nicholas Teo, penganalisis pasaran di CMC Markets, Singapura.

Mengikut Teo, peniaga juga sedang menunggu data rasmi stok penimbal AS yang akan dikeluarkan hari ini (waktu AS) untuk mengenal pasti tahap pengeluaran dan permintaan di negara itu, pengguna utama minyak dunia.

Rizab minyak mentah mungkin sudah berkurangan sebanyak 1.5 juta tong dalam minggu berakhir 22 Mei, mengikut dapatan kaji selidik Bloomberg News. - AFP

Berita Harian X