Khamis, 21 Mei 2015 | 5:00pm

Pendapatan pelaburan KWSP naik kepada RM10.63b suku pertama 2015

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih pendapatan pelaburan sebanyak RM10.63 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2015, meningkat 20.33 peratus berbanding RM8.83 bilion bagi tempoh sama, tahun lalu.

Bagi tempoh suku pertama 2015, jumlah aset pelaburan KWSP turut meningkat kepada RM663.75 bilion, susulan penerimaan caruman bersih RM5.90 bilion serta pelaburan semula pendapatan pelaburan yang dijana bagi tempoh sama.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, dalam satu kenyataan hari ini, menyifatkan keputusan positif disumbangkan terutamanya oleh prestasi ekuitinya yang lebih baik.

"Ini turut disokong pertumbuhan ekonomi dunia termasuk harga minyak mentah lebih stabil dan perkembangan positif zon Euro yang turut mendorong segelintir pasaran global mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan.

"Pelaburan luar negara KWSP bagi suku ini menyumbang 44 peratus kepada keseluruhan pendapatan. Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang utama turut meningkatkan pulangan pelaburan luar negara KWSP.

"Ini menunjukkan keberkesanan strategi kepelbagaian kami terutamanya dalam persekitaran pasaran ekuiti tempatan yang kurang memberangsangkan," katanya.

Setakat 31 Mac 2015, pelaburan luar negara KWSP adalah sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan aset pelaburannya.

Berteraskan persekitaran kadar faedah yang rendah, katanya, KWSP telah mempelbagaikan pelaburannya dalam ekuiti, hartanah dan infrastruktur bagi melindungi simpanan ahli selain menjana kadar pulangan yang disasarkan.

Shahril menjelaskan, sepanjang suku kajian, segmen ekuiti menyumbang 43 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP dan muncul penyumbang utama pendapatan pelaburan sebanyak RM6.36 bilion atau 59.87 peratus daripada jumlah pendapatan.

Malah, pendapatan sebanyak 31.44 peratus itu lebih tinggi berbanding RM4.84 bilion diperolehi bagi tempoh sama pada 2014, dengan penyumbang utama adalah portfolio luar negara KWSP yang memanfaatkan kenaikan harga saham di pasaran negara-negara membangun dan maju dalam tempoh suku berkenaan.

Selain itu, pelaburan hartanah dan infrastruktur KWSP turut mencatat peningkatan sebanyak 43 peratus kepada RM20.93 bilion bagi suku pertama 2015.

Segmen aset itu meraih pendapatan sebanyak RM251.54 juta bagi suku pertama 2015 dan dijangka mencatatkan pendapatan dividen lebih tinggi bagi suku-suku akan datang, termasuk perolehan keuntungan hasil penjualan hartanah baru-baru ini.

"Sebahagian besar pelaburan KWSP kekal dalam bentuk instrumen pendapatan tetap yang merangkumi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan aset KWSP pada suku pertama 2015.

"Pelaburan pendapatan tetap itu terus menjana aliran pendapatan yang stabil dalam persekitaran kadar faedah yang rendah," katanya.

Mengikut Shahril, hingga kini, KWSP terus mengambil peluang terhadap pergerakan kadar pulangan pasaran bagi mengimbangi dan meningkatkan pulangan portfolio berkaitan, dengan jangkaan kadar itu kekal rendah dalam masa terdekat.

Sementara itu, Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf turut menjana pendapatan sebanyak RM1.70 bilion bagi suku dalam kajian, meningkat 7.38 peratus atau RM116.91 juta berbanding RM1.58 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Pinjaman serta bon mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM2.03 bilion berbanding RM2.00 bilion bagi suku pertama 2014 manakala instrumen pasaran wang menyumbang pendapatan sebanyak RM278.20 juta.

KWSP juga, katanya, turut melabur lebih 40 peratus dananya dalam aset patuh Syariah, selaras inisiatif KWSP untuk memperkenalkan dana patuh Syariah pada masa depan.

Mengulas prospek pasaran, Shahril berkata pertumbuhan global kekal sederhana dengan kepelbagaian prospek berbeza bagi negara-negara dan rantau, khususnya antara negara maju dan membangun.

Malah, katanya, risiko tinggi turut dijangkakan berikutan perubahan kadar faedah AS yang boleh meningkatkan permintaan terhadap dolar serta boleh memberi kesan terhadap aliran kedua-dua mata wang global serta pasaran modal.

"Biarpun awal tahun ini kita mulakan dengan baik, KWSP masih perlu terus berhati-hati untuk suku mendatang berikutan ketidaktentuan ekonomi serta persekitaran global dan tempatan," katanya.

Sebagai dana persaraan, KWSP akan terus memberi fokus kepada strategi jangka panjang bagi mencapai sasaran kadar pulangan selepas mengambil kira inflasi, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X