Rabu, 22 April 2015 | 5:31pm

Majikan dijangka kurangkan pengambilan pekerja suku kedua tahun ini

KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan oleh Jobstreet.com menunjukkan 41 peratus majikan akan mengurangkan pengambilan pekerja pada separuh kedua tahun ini berbanding hanya 14 peratus pada tahun 2014.

Kajian mengenai Unjuran Pekerjaan Suku Kedua 2015 ini dijalankan terhadap 930 kakitangan, pengurus dan pengurus kanan sumber manusia dari 12 industri berbeza.

Kajian Indeks Keyakinan Pekerja bagi April juga menunjukkan penurunan keyakinan dalam kalangan calon untuk memperoleh pekerjaan yang baik di Malaysia daripada 49 mata tahun lalu kepada 43 mata.

Pengarahnya, Chook Yuh Yng, berkata di sebalik jangkaan dan sentimen yang tidak memihak itu, pasaran pekerjaan masih kukuh dengan purata lebih 20,000 peluang pekerjaan di Jobstreet.com.

"Keputusan suku pertama 2015 Jobstreet.com menunjukkan pertumbuhan. Industri pembuatan masih meneraju pasaran pekerjaan dari segi bilangan maklumat kerja, diikuti perkhidmatan perbankan dan kewangan.

"Permintaan juga tinggi bagi jualan dan pemasaran, perakaunan, kesetiausahaan dan pentadbiran serta bakat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X