Selasa, 14 April 2015 | 2:20pm

Saham KL naik pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.17 mata kepada 1,842.25 semasa mengakhiri sesi pagi, didorong oleh belian dalam saham mewah terpilih, kata peniaga.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak antara 1,841.85 dan 1,846.31 sepanjang sesi dagangan. Kaunter telekomunikasi dilihat menyokong indeks utama dengan Digi.com meningkat sembilan sen kepada RM6.30, manakala Axiata menambah empat sen kepada RM7.01 dan Telekom Malaysia memperoleh lima sen kepada RM7.45.

Sementara itu, dagangan dalam saham bermodal kecil didominasi oleh syarikat baru disenaraikan Bioalpha Holdings Bhd, syarikat makanan tambahan bersepadu, yang disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia hari ini pada 30 sen.

Harga premium sepuluh sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 20 sen. Pada rehat tengah hari, Bioalpha disebut pada 27.5 sen dengan 118.84 juta saham diniagakan.

Kaunter cergas yang lain ialah DGB Asia yang menokok satu sen kepada 13 sen, Xinghe naik setengah sen kepada 8.5 sen, dan Frontken tidak berubah pada 22.5 sen.

Di pasaran yang lebih luas, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 404 kepada 294, manakala 310 kaunter tidak berubah, 795 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung. Jumlah dagangan sebanyak 1.14 bilion saham bernilai RM885.67 juta. Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 1.11 mata kepada 12,646.99, Indeks FBMT100 turun 0.86 mata kepada 12,328.63, manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 5.58 mata kepada 13,181.34. FBM Ace melonjak 25.01 mata kepada 7,185.41, manakala FBM 70 merosot 8.80 mata kepada 13,532.64.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan menambah 8.89 mata kepada 3,414.97 dan Indeks Perladangan naik 0.35 mata kepada 7,767.84. Bagaimanapun, Indeks Kewangan susut 17.98 mata kepada 16,341.88.

- BERNAMA

Berita Harian X