Khamis, 26 March 2015 | 7:30pm

Pinjaman RM4b kepada SRC berisiko rendah - KWAP

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) , Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berucap pada Pengurusan Kekayaan Islam dan Persidangan Perancangan Kewangan, di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. - Foto Azhar Ramli
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) , Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berucap pada Pengurusan Kekayaan Islam dan Persidangan Perancangan Kewangan, di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. - Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) menegaskan pinjaman kira-kira RM4 bilion yang diberikan kepada SRC International Sdn Bhd dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Justeru itu, tidak timbul isu bahawa pengurus dana pencen itu berdepan risiko terhadap pinjaman berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata sebenarnya pinjaman itu mempunyai risiko yang rendah kerana dijamin kerajaan.

"Saya amat terkejut dengan kebimbangan bahawa pinjaman itu tertakluk kepada risiko.

"Sebenarnya pinjaman itu dijamin kerajaan. Justeru, tidak timbul isu pinjaman itu memberi risiko kepada KWAP," katanya ketika ditemui di Persidangan Pengurusan Kekayaan Islam dan Perancangan Kewangan Kedua di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai terdapat kebimbangan ramai bahawa KWAP berdepan risiko terhadap pinjamannya kepada anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, SRC International kerana syarikat itu tidak untung.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Wan Kamaruzaman berkata, pengurus dana pencen itu menyasar saiz dana yang diuruskannya meningkat mencecah RM120 bilion menjelang akhir tahun ini berbanding RM110 bilion ketika ini.

Beliau berkata, bagi tahun ini, pihaknya akan lebih menumpukan pelaburannya dalam pasaran tempatan, yang mana penumpuannya merangkumi pasaran ekuiti, pendapatan tetap dan hartanah domestik.

Untuk itu, KWAP kini pada peringkat akhir memuktamadkan pembelian hartanah komersial di Lembah Klang berjumlah kira-kira RM2 bilion.

KWAP ditubuhkan pada 1 Mac 2007 di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007, menggantikan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991.

Berita Harian X