Selasa, 17 Februari 2015 | 5:18pm

50,602 unit kenderaan dijual pada Januari, naik satu peratus

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan pada Januari naik hanya satu peratus atau 329 unit kepada 50,602 unit berbanding 50,273 unit dicatatkan pada bulan sama tahun lalu, mengikut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Bagaimanapun, jumlah jualan bagi bulan itu turun 22 peratus berbanding bulan sebelumnya berikutan tawaran hujung tahun yang diberikan oleh syarikat kereta pada Disember 2014.

"Pengumuman bahawa harga kereta akan turun apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan menyebabkan pelanggan menangguhkan pembelian," kata MAA dalam kenyataan di sini hari ini.

Jualan kenderaan penumpang pada Januari turun kepada 44,697 unit berbanding 44,702 unit pada bulan sama tahun lalu, manakala jualan kenderaan komersial naik kepada 5,905 unit berbanding 5,571 unit pada Januari tahun lalu.

Sementara itu, jumlah pengeluaran kenderaan meningkat kepada 56,654 unit pada Januari berbanding 55,503 unit dicatatkan pada bulan sama tahun lalu.

Pengeluaran kenderaan penumpang berkembang kepada 52,387 unit berbanding 50,874 unit.

Bagaimanapun, pengeluaran kenderaan komersial jatuh kepada 4,267 unit berbanding 4,629 unit.

Mengenai prospek, MAA berkata jumlah jualan pada Februari dijangka rendah berbanding Januari susulan tempoh bekerja yang pendek disebabkan cuti perayaan Tahun Baru Cina. - BERNAMA

Berita Harian X