Jumaat, 6 Februari 2015 | 1:12pm

Perdagangan dua hala Malaysia, Indonesia dijangka kekal positif - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo mengadakan sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo mengadakan sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin perdagangan dua hala negara dengan Indonesia kekal positif, meskipun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, walaupun keadaan ekonomi global menyebabkan sasaran dagangan Indonesia-Malaysia berjumlah AS$30 bilion yang dijangkakan sebelum ini mungkin tidak dapat dicapai, keutamaan kedua-dua negara jelas iaitu untuk terus menggalakkan perkembangan perdagangan dan pelaburan.

"Pada masa sekarang, statistik kita menunjukkan jumlah pelaburan dari Malaysia ke Indonesia sebanyak AS$3.97 bilion antara 2008 dan September 2014, manakala pelaburan Indonesia ke Malaysia sebanyak AS$1.89 bilion," kata Najib pada sidang akhbar selepas pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia Joko Widodo di Kompleks Perdana Putra di sini Jumaat.

Najib berkata, beliau juga telah menyatakan kepada Widodo bahawa Malaysia turut menyambut baik pelabur dari Indonesia.

Perdana Menteri berkata, reaksi Widodo juga sangat positif untuk menerima pelaburan Malaysia ke Indonesia, dan akan memberi keutamaan terhadap pelabur-pelabur dari Malaysia.

"Beliau juga menerangkan beberapa peluang dan keutamaan Indonesia," kata Najib.

Perdana Menteri juga mengumumkan Proton bakal menandatangani memorandum persefahaman dengan rakan perniagaan Indonesia petang ini berhubung kemungkinan merealisasikan projek kereta ASEAN.

"Presiden Widodo ada beberapa pandangan dalam hal ini, tapi menunjukkan minat yang begitu serius untuk merealisasikan projek ini," kata Najib.

Sementara itu, Widodo yang juga dikenal sebagai 'Jokowi' berkata Indonesia, mempelawa pelabur Malaysia untuk melabur dalam pembangunan infrastruktur seperti pelabuhan, kereta api, lapangan terbang dan tenaga.

"Kita memberikan kesempatan seluas-luasnya kepada pelabur dari Malaysia," katanya.

Widodo berkata, pada pertemuan dengan Najib hari ini, mereka turut membincangkan langkah pengendalian subsidi dan minyak yang dilaksanakan oleh Indonesia serta pembangunan pejabat nasional yang memberikan layanan yang lebih baik kepada pelabur yang memasuki Indonesia.

Widodo memilih Malaysia sebagai destinasi pertama lawatan rasmi negara selepas mengangkat sumpah jawatan Presiden pada Oktober 2014.

Malaysia merupakan antara rakan dagangan terbesar Indonesia dengan nilai dagangan antara AS$24 bilion dan AS$25 bilion, selain merupakan antara negara pelabur terbesar di republik berkenaan.

Sehingga November 2014, jumlah dagangan Indonesia-Malaysia mencatat AS$19 bilion, dengan jumlah pelaburan Malaysia ke negara itu hampir mencecah AS$1 bilion setakat ini.

Pelabur Malaysia banyak melabur dalam sektor kelapa sawit, perbankan, perlombongan, telekomunikasi dan kesihatan di negara itu. - BERNAMA

Berita Harian X