Sabtu, 24 Januari 2015 | 6:34pm

Terengganu, Medan meterai MoU kukuh hubungan dagang

KUALA TERENGGANU: Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Terengganu dan persatuan usahawan Indonesia, Kamar Dagang dan Industri (Kadin) Medan, hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi mengeratkan lagi perhubungan kedua-dua pihak berkenaan.

Pengerusi DPIM Terengganu, Datuk Dr Abdul Latiff Awang berkata, Medan misalnya mempunyai pelbagai hasil dagangan berkualiti tinggi yang boleh dipasarkan di Malaysia, khususnya di Terengganu.

"Selepas menandatangani MoU bersama Kadin Sumatera Utara pada Selasa lalu, kita berjaya membuat satu lagi persepakatan dengan Kadin Medan yang mempunyai lebih 300 pengusaha daripada pelbagai bidang.

"Saya yakin menerusi kerjasama ini, usahawan Terengganu terutamanya dalam sektor Industri Kecil Sederhana (IKS) mampu mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih jauh," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Abdul Latiff bagi pihak DPIM Terengganu manakala Kadin Medan diwakili Ketua Umumnya, Ir Rudi Zulham Hasibuan. Ia disaksikan oleh Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Terengganu) Mohd Shahrir Abdul Ghani serta wakil Wali Kota Medan, Kamarul Fatah.

Seramai 25 orang termasuk usahawan pelbagai jenis perniagaan IKS Terengganu dan wakil Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, turut menyertai rombongan bagi memperkenalkan produk mereka.

Abdul Latiff turut menyifatkan MoU itu akan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan Terengganu dan Medan yang boleh dimanfaatkan menerusi penerbangan terus Medan ke Kuala Terengganu dan sebaliknya.

"Sebelum ini, DPIM Terengganu telah membincangkan usahasama ini bersama Kadin Medan. Namun dengan pemeteraian MoU hari ini, ia memudahkan lagi usahawan Medan dan Terengganu untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Penerbangan terus Medan ke Kuala Terengganu dan sebaliknya akan menjadi batu loncatan untuk mereka bergerak lebih pantas bagi usaha pertukaran barangan dagangan mereka," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X