Isnin, 19 Januari 2015 | 4:38pm

Ringgit rendah tarik lebih banyak pelaburan dari AS

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yakin kedudukan ringgit yang rendah sekarang ini akan menarik lebih banyak pelaburan dari Amerika Syarikat.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Phang Ah Tong bagaimanapun berkata, sektor mana yang akan meraih pelaburan tertinggi belum dapat ditentukan lagi.

"Kami menjangka sektor elektronik, peranti perubatan, aeroangkasa dan kejuruteraan jentera serta industri berasaskan sumber seperti getah dan perabot yang akan mendapat manfaat," katanya kepada pemberita di luar acara Seminar Kerjasama Bersama Pusat Korea ASEAN dan MIDA di sini Isnin.

Phang berkata, aliran masuk pelaburan akan dapat dilihat dari negara-negara yang mata wangnya meningkat berbanding ringgit, terutamanya AS, memandangkan pelaburan mereka akan lebih murah dan kompetitif di Malaysia.

Beliau berkata, pengeluar berorientasikan eksport dengan kandungan tempatan yang tinggi juga akan meraih faedah daripada ringgit yang rendah memandangkan mereka akan mendapat pulangan yang lebih tinggi kerana produk diniagakan dalam dolar AS.

Sebaliknya, beliau berkata, sektor-sektor yang mempunyai kandungan luar yang tinggi serta bahan import akan kurang menarik.

Sementara itu, beliau berkata, AS kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar selepas Jepun, yang pelaburannya di Malaysia susut sedikit pada 2014 berbanding 2013 disebabkan kurang projek mega untuk disertai.

Kira-kira 100 peserta termasuk 10 dari Korea Selatan menghadiri seminar setengah hari itu yang bertujuan untuk mengemas kini perkembangan terbaharu dalam tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, terutamanya dalam solar, biojisim dan indu/stri pengurusan sisa pepejal. - BERNAMA

Berita Harian X