Rabu, 14 Januari 2015 | 8:16pm

Portfolio Khazanah Nasional naik kepada RM145.6b pada 2014

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd, syarikat pelaburan kerajaan mengumumkan Nilai Aset Direalisasikan (RAV) meningkat 7.8 peratus kepada RM145.6 bilion sehingga pada 31 Disember 2014 berbanding RM135.1 bilion pada 2013.

Mengikut Khazanah, ia mencatat prestasi kewangan cemerlang pada tahun lalu walaupun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar.

RAV Khazanah mencatat pertumbuhan 186 peratus daripada RM50.9 bilion ketika penubuhannya pada 2004.

Nilai Aset Diselaraskan (NWA) pula meningkat 9.2 peratus kepada RM110.8 bilion daripada RM101.5 bilion pada 2013.

NWA Khazanah meningkat 9.2 peratus mengatasi pertumbuhan FBM KLCI yang mencatat penurunan 2.6 peratus.

Pada 2014, Khazanah mencatat keuntungan sebelum cukai RM3.2 bilion manakala PBT terkumpul sejak Mei 2004 berjumlah RM22.3 bilion.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata tahun lalu cabang pelaburan kerajaan Malaysia itu melaksanakan 12 pelaburan dengan nilai keseluruhan RM7.2 bilion serta enam pelupusan yang mencatatkan keuntungan pelupusan berjumlah RM3.0 bilion.

Antara 2004 hingga 2014, Khazanah melakukan pelaburan dengan nilai berjumlah RM65.3 bilion dan 67 pelupusan membabitkan nilai RM42.8 bilion, dengan keuntungan keseluruhan daripada pelupusan berjumlah RM19.4 bilion.

"2014 adalah tahun yang sibuk dan penuh dengan peristiwa penting yang menyaksikan beberapa syarikat milik Khazanah mencatatkan prestasi operasi yang kukuh.

"Penyumbang utama kepada peningkatan NWA Khazanah adalah Tenaga Nasional Bhd yang menyumbang RM4.9 bilion, tawaran awam permulaan Alibaba Group (RM3.9 bilion), IHH Healthcare Bhd (RM3.6 bilion) serta sektor telekomunikasi yang merangkumi Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Axiata Group Bhd (RM2.9 bilion)," katanya membentangkan Ulasan Tahunan Khazanah ke-11 di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh dikaji, kemajuan juga turut dicatatkan dalam beberapa projek pemangkin di Iskandar Malaysia, khususnya pelancaran Pinewood Iskandar Malaysia Studio.

Dalam pada itu, sejak 2004, Khazanah mengisytiharkan dividen RM7.4 bilion termasuk dividen sebanyak RM900 juta yang diumumkan bagi 2014 dan membayar cukai berjumlah RM1.2 bilion sejak 2004.

Mengenai prestasi syarikat pelaburan Khazanah di bawah Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan, Azman berkata, secara keseluruhan, syarikat pelaburan Khazanah di bawah program itu mencatatkan prestasi yang baik dengan jumlah pulangan kepada pemegang saham berkembang sebanyak 12.6 peratus setiap tahun sejak Mei 2004.

Program transformasi itu yang kini memasuki tahun ke-10, akan berakhir pada hujung Ogos ini.

Pencapaian penting turut dicatatkan dalam penstrukturan semula Penerbangan Malaysia (MAS) menerusi pengumuman Pelan Pemulihan 12 Perkara MAS bagi membina semula syarikat penerbangan nasional itu dan kembali meraih untung.

Berita Harian X