Isnin, 22 Disember 2014 | 4:15pm

Jualan kenderaan 55,313 unit pada November

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan penumpang dan komersial pada November 2014 meningkat kepada 55,313 unit berbanding 52,252 unit bagi tempoh sama tahun lalu, mengikut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Segmen kenderaan penumpang mencatat jualan lebih tinggi sebanyak 48,622 unit pada bulan itu, berbanding 45,749 unit bagi bulan sama tahun lalu.

"Jualan kenderaan komersial naik kepada 6,691 unit pada November 2014 berbanding 6,503 unit dicatatkan bagi tempoh sama pada 2013," kata MAA dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jumlah jualan pada November 2014 meningkat 5.9 peratus atau 3,061 unit, berbanding tempoh sama pada 2013.

Dalam pada itu, jualan pada November 2014 naik 2.1 peratus atau 1,126 unit berbanding Oktober 2014 berikutan kempen promosi akhir tahun dan pelancaran model baharu.

Mengikut persatuan itu, jumlah pengeluaran bagi kedua-dua segmen merosot kepada 47,422 unit berbanding 54,003 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

Mengenai prospek, MAA berkata, jumlah jualan bagi Disember 2014 dijangka lebih tinggi berbanding November 2014 berikutan kempen promosi agresif secara berterusan oleh syarikat kereta. - BERNAMA

Berita Harian X