Jumaat, 12 Disember 2014 | 12:03pm

MAHB akan jawab isu dibangkitkan PAC secepat mungkin

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini dalam peringkat penelitian dan perbincangan untuk menjawab isu yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

"Kami menerima dengan hati terbuka dan kini sedang meneliti setiap isu yang disuarakan oleh PAC dan berjanji akan menjawab setiap satu perkara tersebut kerana setiap isu itu bersangkutan," kata Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali.

"Kita tidak tahu bila, namun akan cuba memberi jawapan kepada PAC secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai melawat klia2 di sini.

Beliau mengulas laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen pada 25 November lalu mengenai dakwaan kegagalan syarikat pengendali lapangan terbang itu menimbang status klia2 sebagai lapangan terbang kos rendah yang turut meningkatkan perbelanjaan operasi syarikat pengendali penerbangan terbabit.

Badlisham berkata, isu pemendapan di apron klia2 tidak menjejaskan operasi di lapangan terbang itu walaupun kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan sejak Jun lalu.

Sementara itu, Liow berkata menjadi tanggungjawab MAHB untuk menjawab isu yang dibangkitkan oleh PAC dengan telus dan terbuka.

"Semua isu harus dijawab oleh MAHB dan ia turut membabitkan faktor keselamatan di lapangan terbang berkenaan termasuk isu pemendapan di apron," katanya.

Beliau berkata, kos keseluruhan pembaikan berkenaan masih belum diperoleh berikutan kerja-kerja pembaikan masih berjalan.

- BERNAMA

Berita Harian X