Jumaat, 5 Disember 2014 | 6:19pm

Tesla Motors berminat bawa masuk kereta elektrik ke Malaysia

AHMAD Hadri Haris menunjukkan antara jenis kenderaan elektrik pada majlis pandu uji kenderaan elektrik untuk pengamal media di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
AHMAD Hadri Haris menunjukkan antara jenis kenderaan elektrik pada majlis pandu uji kenderaan elektrik untuk pengamal media di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Beberapa pengeluar kereta elektrik (EV) terkemuka dunia termasuk Tesla Motors Inc sudah menyatakan minat membawa masuk kenderaan mereka ke Malaysia terutama jika adanya insentif cukai dan ketersediaan prasarana.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (Green-Tech Malaysia), Ahmad Hadri Haris, berkata pihaknya juga berbincang dengan BMW, BYD dan Volkswagen mengenai potensi membawa masuk EV mereka ke pasaran tempatan.

"Pengeluar model EV kini mahu melihat komitmen kerajaan membangunkan segmen EV di negara ini menerusi pembangunan prasarana EV, stesen pengecas, permintaan terhadap EV dan tawaran insentif cukai," katanya kepada BH.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis penghargaan media sempena Persidangan dan Pameran Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM 2014) dan sesi media uji pandu kenderaan EV di Carcosa Seri Negara di sini hari ini.

"Mereka secara asasnya berminat untuk membawa masuk model EV masing-masing jika ada potensi di sini. Sebab itu kita perlukan insentif pengecualian cukai import dan eksais ke atas EV supaya rakyat di negara ini mampu memiliki kereta elektrik dan ia akan membantu membina permintaan kepada kenderaan jenis itu," katanya.

Antara model EV popular keluaran Tesla ialah Model S, kereta sport yang mampu memecut dari 0-100 km sejam dalam 4.4 saat dan dijual pada tanda harga dari AS$49,900 (RM171,000).

BMW pula sudah memperkenalkan kenderaan megacity BMW i3. Bagaimanapun, syarikat itu sudah mengumumkan tidak menjual model itu di Malaysia kerana jangkaan permintaan kecil manakala bas elektrik keluaran syarikat China, BYD akan diperkenalkan secara berperingkat mulai awal tahun depan.

Sementara itu, Ahmad Hadri berkata, IGEM 2014 mencatat hampir RM2 bilion nilai perjanjian perniagaan, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai platform teknologi hijau terbesar rantau ini.

GreenTech Malaysia bersama-sama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) memainkan peranan dalam memperkenalkan instrumen ekonomi baharu, mengukuhkan pemahaman teknologi hijau dan menggalakkan pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing ke negara ini, katanya.

Berita Harian X