Rabu, 3 Disember 2014 | 2:35pm

Pertumbuhan Malaysia menyederhana, 5 peratus tahun depan

Defisit berganda dijangka menjelang suku pertama tahun depan

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana tahun depan kepada 5 peratus, didorong ketidaktentuan dalam tinjauan ekonomi dunia sejak penghujung 2014 sekali gus menurunkan prospek ekonomi pada 2015.

Pertumbuhan itu lebih rendah daripada unjuran sebelum ini pada 5.2 peratus dan jangkaan 5.8 peratus pada 2014.

Ketua Ekonomi Alliance Banking Group, Manokaran Mottain, berkata selain risiko penurunan eksport berikutan ketidaktentuan luaran, ekonomi domestik juga berhadapan cabaran daripada jangkaan penurunan pertumbuhan penggunaan.

Dalam segmen penawaran, kegiatan pembuatan dijangka mencatat pertumbuhan lebih rendah 4.4 peratus pada 2015 (6.1 peratus, 2014) manakala pertumbuhan sektor perkhidmatan dijangka menyederhana kepada 5.3 peratus tahun depan, turun daripada 6.2 peratus 2014.

"Dalam pada itu, kami juga tidak menjangka pertumbuhan sektor awam berikutan gerak kerja pengukuhan fiskal, sejajar usaha kerajaan mencapai sasaran defisit fiskal 3 peratus serta mengekalkan paras hutang kerajaan di bawah paras 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, mengambil kira arah aliran penurunan eksport dalam separuh kedua 2014, ada kecenderungan berlaku defisit perdagangan dalam separuh pertama 2015, malah dijangkakan juga defisit kecil dalam akaun semasa akan terjadi seawal suku pertama tahun depan.

Walaupun inflasi dijangka kekal tinggi tahun depan berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Manokaran mengunjurkan tekanan harga akan menyusut menjelang hujung tahun 2015. Inflasi diunjurkan 4 peratus pada 2015, naik daripada anggaran sebanyak 3.1 peratus pada 2014.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), ia dijangka dikekalkan pada 3.25 peratus tahun depan, paras yang akan menyokong pertumbuhan dengan mengambil kira keadaan luaran yang semakin menurun dan penyusutan permintaan domestik berikutan tekanan inflasi.

Ringgit pula dijangka mencecah paras terendah RM3.50 bagi satu dolar AS tahun depan walaupun tukaran purata disasarkan berada antara RM3.30-RM3.35 sepanjang tahun depan.

"Kami jangka dolar AS akan terus mengukuh seiring unjuran peningkatan kadar faedah AS tahun depan serta peningkatan kemungkinan berlakunya defisit berganda menjelang suku pertama 2015 akan menurunkan lagi kadar tukaran ringgit," katanya.

Bagaimanapun, mengikut Manokaran, jika harga minyak mentah Brent terus jatuh ke paras AS$60 (RM205) setong pada 2015, ringgit dijangka terus lemah sekali gus berpotensi menurunkan pertumbuhan KDNK kepada antara 3-4 peratus pada 2015.

"Dalam keadaan itu, kami jangka sasaran defisit fiskal 2015 tidak akan dicapai, sebaliknya mencecah 3.3 peratus sekali gus menyebabkan penarafan kredit negara kita terdedah kepada penurunan," katanya.

Kerajaan menyasar defisit fiskal 3.5 peratus pada 2014 dan 3.0 peratus pada 2015 sebelum mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

Berita Harian X