Selasa, 2 Disember 2014 | 12:29pm

Optimis sasaran defisit fiskal 3.5 peratus dicapai - Husni

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - Foto Salhani Ibrahim
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis sasaran defisit 3.5 peratus tahun ini dapat dicapai berikutan langkah mengapungkan secara terkawal harga RON95 dan diesel.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata keyakinan itu turut bersandarkan kepada kedudukan keseluruhan pendapatan negara dari segi kutipan cukai dan pendapatan minyak dan gas.

"Kami percaya kita boleh mencapai sasaran defisit tahun ini," katanya ditemui selepas melancarkan Persidangan Tinjauan Ekonomi Kebangsaan di sini sebentar tadi.

Ahmad Husni berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April tahun depan juga dapat membantu mengukuhkan pendapatan negara.

Pada 2013, kerajaan mencatatkan defisit fiskal lebih rendah iaitu 3.9 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 4.5 peratus pada 2012.

Setakat Disember 2013, hutang kerajaan berada pada paras RM539.9 bilion atau 54.8 peratus daripada KDNK, iaitu masih di bawah paras mandatori yang ditetapkan kerajaan iaitu 55 peratus.

Pada 2014, kerajaan menyasar defisit fiskal akan berkurangan kepada 3.5 peratus dan 3.0 peratus pada 2015 sebelum mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

Rasionalisasi subsidi adalah antara elemen yang akan membantu Malaysia mengurangkan defisit fiskal, sekali gus membantu negara mendapat penarafan kedaulatan lebih tinggi.

Berita Harian X