Selasa, 25 November 2014 | 9:36pm

TNB pertingkat program bantu vendor Bumiputera

KUALA LUMPUR: Gergasi utiliti, Tenaga Nasional Bhd (TNB) mempertingkat program pemberian kontraknya bagi membantu syarikat sederhana Bumiputera terus berkembang.

Ketua Pegawai Perolehan, Syed Abu Hanifah Syed Alwi, berkata menerusi langkah itu, program vendor dibahagi kepada dua kategori iaitu pengilangan, serta kerja dan perkhidmatan.

TNB juga menambah baik pemberian kontrak iaitu secara rundingan terus dan tidak lagi melalui proses tender agar syarikat Bumiputera terbabit hanya bersaing sesama sendiri bagi memperoleh satu-satu projek, katanya di sini hari ini.

"Apabila mereka masuk program ini, TNB akan beri bimbingan dari segi pembangunan supaya mereka dapat berjaya," katanya ditemui selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

TNB adalah antara lima syarikat yang memterai MoU dengan kementerian itu hari ini. Empat syarikat lain ialah Keretapi Tanah Melayu Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, UMW Corporation dan Pharmaniaga Bhd.

Sejak dilancarkan 20 tahun lalu, TNB memberi kontrak kerja bernilai RM8 bilion kepada syarikat Bumiputera. Hingga kini TNB mempunyai 14,000 vendor dan daripada jumlah itu 1,000 adalah vendor Bumiputera. - BERNAMA

Berita Harian X